Topik diikuti
Pergi ke BHkuPoliklinik Eunos akan lancar mesin layan diri pertama S'pura untuk pengambilan ubat
Poliklinik Eunos akan lancar mesin layan diri pertama S'pura untuk pengambilan ubat
Poliklinik Eunos akan lancar mesin layan diri pertama S'pura untuk pengambilan ubat
MENJELANG hujung tahun ini, Poliklinik Eunos akan melancarkan mesin layan diri pertama Singapura untuk pengambilan ubat yang diberikan doktor, membolehkan pesakit mendapatkan ubat mereka dengan cepat selepas konsultasi, tanpa perlu beratur.
Ini adalah sebahagian daripada usaha poliklinik itu untuk menawarkan pengalaman lawatan digital sepenuhnya kepada pesakit, daripada tempahan janji temu dan pendaftaran kepada pembayaran dan pesanan ubat.
Mereka juga boleh menerima penjagaan perubatan dari jauh melalui program telekesihatannya, termasuk konsultasi video, pemantauan penjagaan jarak jauh dan sokongan telepenjagaan.
Ditemui di pelancaran rasmi poliklinik di 1 Chin Cheng Avenue itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menekankan pentingnya pendekatan berasaskan pasukan untuk penjagaan kesihatan utama (primary), yang melibatkan penugasan pasukan khas kepada setiap pesakit sejauh mungkin untuk membina hubungan.
"Pasukan biasa mempunyai hingga tiga doktor keluarga, yang tanggungjawab utama mereka adalah untuk menggunakan pendekatan berasaskan perhubungan dalam pengurusan penyakit kronik yang baik.
"Dengan hubungan yang baik datang kepercayaan, dan dengan kepercayaan datang kesanggupan pesakit untuk mematuhi nasihat doktor. Kemudian pesakit boleh diperkasa untuk memantau diri dan menjaga diri," katanya.
Menteri itu menyatakan bahawa individu yang bertanggungjawab ke atas kesihatan mereka dan belajar cara menjaga diri mereka dengan bantuan doktor adalah penting bagi Singapura untuk mencapai hasil kesihatan yang lebih baik.
Ini boleh dicapai melalui perkhidmatan yang disediakan oleh jururawat berdaftar yang bertindak sebagai pengurus penjagaan, seperti kaunseling penyakit kronik dan mengajar pesakit kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan keadaan kronik mereka yang stabil.
Ahli pasukan penjagaan kesihatan pesakit yang lain mungkin termasuk penyelaras penjagaan yang menyediakan pemeriksaan sebelum konsultasi pesakit untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai penyakit kronik yang mendasari, sama ada mereka telah mengambil vaksin yang berkaitan dan keadaan kesihatan mental serta kelemahan mereka.
Mungkin juga terdapat jurulatih penjagaan, yang akan melihat aspek sosial kesihatan seperti isu keluarga atau pelarasan gaya hidup, serta karyawan kesihatan bersekutu dan pakar hospital.
Pendekatan Poliklinik Eunos itu adalah selaras dengan strategi Healthier SG Kementerian Kesihatan, yang telah dilancarkan di Parlimen Mac lalu, semasa perbahasan belanjawannya.
Inisiatif itu akan mengalihkan tumpuan daripada pendekatan tradisional penjagaan hospital berasaskan penyakit kepada cara penjagaan pencegahan berpusatkan pesakit yang lebih mampan.
Poliklinik itu mula menerima pesakit pada 17 Disember lalu.
