Penduduk Kallang kini boleh memanfaatkan pelbagai khidmat penjagaan kesihatan menyusuli pembukaan rasmi Poliklinik Kallang hari ini (7 Mei).

Berkongsi premis dengan Hospital Kwong Wai Shiu di Serangoon Road, ia terletak berhampiran Stesen MRT Boon Keng, dan mampu menawarkan khidmat perubatan kepada sekitar 1,000 pesakit setiap hari.

Merasmikan poliklinik tersebut yang beroperasi sejak Oktober lalu, Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung, dalam ucapannya berkata, Poliklinik Kallang merupakan poliklinik ke-22 dan ia adalah antara tiga poliklinik baru yang dibuka pada tahun lalu.

"Dengan poliklinik terbaru ini, kami semakin hampir mencapai sasaran untuk mempunyai sebanyak 32 poliklinik (di Singapura) menjelang 2030," kata Encik Ong.

Poliklinik ketujuh di bawah National Healthcare Group (NHG) dan antara poliklinik baru pertama dibangunkan selepas langkah penyusunan semula sistem penjagaan kesihatan Singapura pada 2017.

Akur dengan cabaran kesihatan dan sosial yang sering dihadapi pesakit dengan keadaan kesihatan yang rumit, NHGP mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan masyarakat bagi mengenalpasti keperluan unik pesakit dan menghubungkan mereka kepada khidmat masyarakat yang bersesuaian.

Dua Program yang diperkenalkan di Poliklinik Kallang adalah 'RELATE' dan 'EMBRACE PLUS' yang menyepadukan keperluan kesihatan dan sosial pesakit. Salah satu pendekatan menarik adalah usaha perintis, penggunaan Sistem Kebertanggungjawaban Penghasilan Sumber Tenaga Yang Selamat Mengikut Analitik Masa Sebenar Vaksin atau SMARTVacc yang akan menggantikan peti sejuk vaksin amali yang biasa yang kini digunakan.

Sistem perintis itu dapat menjimatkan masa jururawat sehingga 45 minit kerana ia memantau dan melaporkan inventori pada masa nyata berbanding dengan proses manual sekarang ini, sekaligus membolehkan jururawat lebih tertumpu pada penjagaan pesakit dan mengurangkan kesilapan manusia.

Poliklinik Kallang juga adalah Poliklinik NHG pertama yang memperkenalkan Majlis Penasihat Pesakit (PAC) bagi membantu memajukan budaya penjagaan yang mengutamakan pesakit dan perhatian untuk keluarga.

Selain itu, dalam rakan kerjasama masyarakat, Poliklinik Kallang juga berganding bahu dengan Sekolah Assumption Pathway (APS) bagi menyediakan pelajar mereka dengan peluang pembelajaran dalam keadaan sebenar menerusi pengendalian sebuah Trak Makanan yang terletak di halaman poliklinik.

Trak Makanan yang pertama diperkenalkan NHGP ini menawarkan menu yang dibangunkan khas oleh APS dan pakar diet NHGP bagi memastikan pilihan makanan yang lebih sihat untuk ditawarkan kepada pelanggan.