Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis: 357 disiasat kes penipuan lebih $4j

Polis: 357 disiasat kes penipuan lebih $4j
SERAMAI 357 suspek berusia 16 hingga 75 tahun sedang disiasat kerana didakwa terlibat dalam penipuan dan operasi keldai wang yang menyebabkan kerugian lebih $4 juta. Polis berkata pada Jumaat (10 Mac) bahawa suspek dipercayai terlibat dalam lebih 1,160 kes penipuan. Ini terdiri terutamanya daripada penipuan panggilan rakan palsu, pelaburan, e-dagang, pekerjaan dan menyamar sebagai kakitangan awam. Menurut laporan The Straits Times, suspek telah ditangkap semasa operasi selama dua minggu di seluruh pulau antara 25 Februari dan 9 Mac lalu yang dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan tujuh divisyen polis. Suspek sedang disiasat atas dakwaan kesalahan menipu, pengubahan wang haram, atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen. Mereka yang didapati bersalah menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda. Mereka yang disabitkan dengan pengubahan wang haram boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda sehingga $500,000, atau kedua-duanya sekali. Mereka yang disabitkan kesalahan menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen boleh didenda sehingga $125,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Polis berkata untuk mengelak daripada menjadi rakan subahat jenayah, orang ramai harus menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian mudah alih mereka. Mereka yang didapati terlibat dalam sebarang operasi akan bertanggungjawab jika ini dikaitkan dengan jenayah.