ORANG ramai harus berhati-hati apabila membaca rencana yang mengandungi maklumat palsu bahawa Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah mengesahkan pelaburan dalam mata wang kripto, kata polis pada Sabtu (30 April).

Rencana ini menggambarkan pelaburan itu sebagai selamat dan sangat lumayan, kata polis dalam satu penyata nasihat.

Rencana dalam talian ini biasanya adalah iklan dalam talian berbayar yang menyamar seperti rencana berita.

Dengan satu klik pada pautan dalam rencana itu, pengguna akan dibawa melungsur satu laman Internet yang menawarkan pelaburan menerusi penjejakan perdagangan mata wang kripto atau produk kewangan lain.

.Mereka yang memberi butiran peribadi kepada laman Internet ini akan biasanya menerima panggilan daripada wakil yang kononnya mempromosikan skim ini.

Polis menggesa orang ramai agar tidak berurusan dengan syarikat yang menggunakan iklan palsu atau mengelirukan ini serta berhati-hati apabila membuat keputusan mengenai pelaburan..

Orang awam boleh mengambil beberapa langkah untuk kekal selamat. Ini termasuk sebagai contoh menyoal wakil syarikat bagi memahami peluang pelaburan atau memeriksa butiran kelayakan syarikat ini dengan menggunakan sumber seperti Direktori Institusi Kewangan atau Senarai Amaran Pelabur.

Sumber ini tersedia di laman Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Lebih banyak maklumat mengenai penipuan boleh diperolehi di laman Amaran Penipuan, https://www.scamalert.sg atau anda boleh hubungi talian Anti-Penipuan pada 1800-722-6688.