SERAMAI 97 lelaki dan 49 wanita, berusia antara 16 dan 87 tahun, telah diberkas menyusuli satu operasi penguatkuasaan selama dua minggu yang dijalankan antara 1 hingga 15 Mei lalu oleh pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersial dan tujuh divisyen polis darat.
Kesemua yang diberkas kini membantu dengan siasatan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes penipuan.
Polis dalam kenyataannya pagi ini berkata, mereka yang diberkas dipercayai terlibat dalam 375 kes penipuan melibatkan lebih $1.15 juta yang dilaporkan hilang oleh mangsa mereka.
Penipuan tersebut terutamanya terdiri daripada penipuan cinta internet, penipuan pembelian dalam talian dan penipuan pinjaman.
Kesemua yang disyaki disiasat kerana menipu atau pengubahan wang haram.
Kesalahan menipu, boleh dihukum di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram, pelaku boleh dihukum di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah), yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan/atau didenda sehingga $500,000.
Polis memandang serius terhadap mana-mana orang yang mungkin terlibat dalam penipuan dan penyelewengan, dan pelaku akan menghadapi undang-undang tegas.
Bagi mengelak daripada menjadi mangsa, orang ramai harus menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian mudah alih kerana mereka akan ditahan dan dipertanggungjawabkan sekiranya akaun ini dihubungkan dengan urus niaga haram.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh mengunjungi www.scamalert.sg atau hubungi Hotline Anti-Scam di 1800 722 6688.
Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai kes penipuan boleh menghubungi talian polis 1800 255 0000 atau menghantar maklumat dalam talian menerusi laman www.police.gov.sg/iwitness.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg