SEORANG lelaki telah diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu kes pemiutang tanpa lesen.
Dalam kenyataannya semalam, polis berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap kerana menggugat sebuah keluarga di Pasir Ris Drive 3 dengan melempar cat di pintu mereka dan meninggalkan pesanan pemiutang di pagar unit flat jirannya.
Hasil siasatan dengan bantuan rakaman dari kamera polis, anggota dari Polis Divisyen Bedok telah mengenalpasti lelaki berkenaan dan memberkasnya semalam.
Satu telefon bimbit, satu pen dan sebuah buku nota telah dirampas sebagai bahan bukti jenayah.
Lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah hari ini di bawah Akta Peminjam Wang (Edisi Semakan 2010).
Bagi pesalah kali pertama kes gangguan pemiutang tanpa lesen, tertuduh boleh didenda tidak kurang dari $5,000 dan tidak melebihi $50,000 dan wajib menjalani hukuman penjara sehingga 5 tahun dan wajib dirotan tidak melebihi enam kali.
Polis tidak bertolak ansur dalam menangani kegiatan pemiutang haram.
Mereka yang sengaja merosakkan harta benda dan menimbulkan rasa jengkel dan menggugat rasa selamat seseorang, keamanan dan keselamatan awam, akan ditangkap dan ditangani dengan tegas sejajar undang-undang.
Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi pemiutang haram atau membantu mereka dalam apa jua cara.
Mereka boleh menghubungi polis di talian '999' atau talian hotline 'X-Ah Long' di 1800-924-5664 sekiranya mereka syak atau tahu sesiapa yang terlibat dalam kegiatan pemiutang haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg