POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki terlibat dalam satu kes menipu.
Dalam kenyataannya, polis berkata ia menerima maklumat tentang kes itu pada 29 Mei lalu.
Seorang mangsa telah bersetuju untuk membeli motosikal dari lelaki berusia 26 tahun itu, yang tidak dikenalinya, melalui media sosial, Telegram.
Selepas pembayaran wang cengkeram berjumlah lebih $1,000 dibuat oleh mangsa melalui pindahan wang melalui bank, mangsa mendakwa beliau tidak menerima motosikal seperti yang dijanjikan oleh lelaki itu.
Malah, beliau diberitahu untuk membuat pembayaran lebih lanjut.
Mengesyaki dirinya telah ditipu, mangsa membuat laporan polis.
Hasil siasatan susulan dan dengan bantuan gambar dari kamera polis, pegawai dari Divisyen Jurong berjaya mengenalpasti identiti lelaki itu dan menangkapnya pada kelmarin (10 Jun).
Siasatan sedang dijalankan.
Jika disabit kesalahan menipu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan di denda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg