Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis: Persembahan DJ ‘sami’ Korea tidak boleh libat unsur agama

May 22, 2024 | 3:32 PM
DJ Korea Selatan, NewJeansNim, dijadualkan membuat persembahan di kelab malam Club Rich Singapore di Middle Road pada 19 dan 20 Jun.
DJ Korea Selatan, NewJeansNim, dijadualkan membuat persembahan di kelab malam Club Rich Singapore di Middle Road pada 19 dan 20 Jun. - Foto REUTERS

Persembahan DJ ‘sami’ dari Korea Selatan yang akan diadakan di Singapura pada Jun, tidak boleh melibatkan sebarang unsur keagamaan jika ia mahu terus dijalankan, kata polis pada Selasa selepas mengeluarkan makluman kepada kelab malam yang terlibat dalam menganjurkan acara itu.

Penghibur yang dikenali sebagai DJ NewJeansNim itu sering berpakaian seperti sami dan menyertakan unsur agama Buddha dalam pertunjukannya dan dijangka membuat persembahan di Club Rich Singapore di Middle Road pada 19 dan 20 Jun.

Kelab malam tersebut telah memberitahu pihak berkuasa bahawa persembahan DJ itu tidak akan mengandungi sebarang unsur berkaitan agama.

Polis dalam satu kenyataan pada 21 Mei berkata ia telah menasihatkan kelab malam itu agar mematuhi syarat lesen hiburan awam mereka, yang termasuk memastikan sebarang hiburan awam tidak menyinggung sebarang kaum, agama, etnik atau kerakyatan, atau berpotensi menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan kumpulan yang berbeza.

Ia menambah bahawa pertunjukan NewJeansNim “mungkin melanggar syarat ini”, memandangkan sifat persembahan yang dirancang itu.

Kelab malam terbabit telah memberitahu polis bahawa ia akan mematuhi syarat pelesenan dan memastikan “persembahan itu tidak akan melibatkan sebarang unsur yang berkaitan dengan agama, sama ada dalam pakaian, isyarat tangan, artifak, lagu dan lirik”, kata kenyataan itu.

“Polis komited untuk memastikan pematuhan syarat pelesenan yang ketat, dan sebarang pelanggaran akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang. Pengendali yang didapati melanggar syarat pelesenan mungkin dibatalkan lesen mereka,” kata polis.

Persekutuan Buddha Singapura sebelum ini menggesa pihak berkuasa agar tidak meluluskan sebarang persembahan oleh NewJeansNim.

Dalam satu kiriman Facebook pada 19 Mei, persekutuan itu berkata DJ NewJeansNim bukan seorang sami dan tidak sepatutnya memakai jubah sami untuk membuat persembahan, sambil menambah bahawa ia bertentangan dengan Vinaya – kod tatatertib untuk sami.

Pemimpin pemerintah telah berkata menyertakan unsur keagamaan seperti itu ke dalam persembahan akan dianggap menyinggung bagi penganut Buddha dan tidak boleh diterima.

“Polis telah memberitahu pemilik kelab malam itu bahawa tindakan akan diambil jika persembahan itu diteruskan. Mereka memahami kedudukan kami, dan telah bersetuju untuk bekerjasama,” kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam satu kiriman Facebook pada 22 Mei.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dalam satu kiriman Facebook pada 21 Mei berkata terdapat “peraturan jelas” tentang apa yang boleh atau tidak boleh dipentaskan semasa persembahan hiburan awam.

“Rasionalnya sangat jelas; kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, kita menghormati satu sama lain, dan kita mengambil langkah untuk melindungi perpaduan sosial kita,” kata Encik Tong.

“Kami memandang serius terhadap perbuatan yang merendahkan agama. Ini adalah satu kesalahan dan tidak boleh dibiarkan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg