Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat 83 orang langgar peraturan jarak selamat dalam empat perhimpunan

Mar 23, 2021 | 5:30 AM
3700471b-1f90-4ef7-b53a-9958e33750e8
-

POLIS sedang menyiasat 83 orang berhubung kesalahan melanggar peraturan jarak selamat dalam empat perhimpunan berasingan yang mempunyai hiburan dan minuman keras tanpa lesen sah.

Dalam satu kes itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah unit pejabat di Ubi Avenue 3 pada 18 Mac, dan mendapati seramai 18 lelaki dan 17 wanita - berusia antara 22 dan 58 tahun - yang didakwa berminum arak dan bersosial.

Seorang lelaki berusia 22 tahun, yang dipercayai pengendali unit itu, sedang disiasat atas kesalahan di bawah Akta Hiburan Awam, Akta Kawalan Arak (Bekalan dan Pengambilan) dan Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing.

Empat wanita Vietnam juga diberkas bagi kesalahan yang disyaki di bawah Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing, menurut kenyataan polis semalam.

Dalam kes kedua, polis mendapat tahu tentang perhimpunan di sebuah pejabat di Jalan Bukit Merah pada 13 Mac lalu.

Apabila pegawai tiba, lima lelaki dan enam wanita - berusia antara 20 tahun dan 38 tahun - didakwa telah berminum arak, merokok dan menyanyi di unit itu.

Pada 25 Februari pula, polis telah menerima maklumat tentang satu perhimpunan di unit pejabat di Pemimpin Drive di kawasan Bishan.

Dalam kejadian ini, tiga orang telah bertindak sebagai 'pengawas' bagi kumpulan itu, kata polis.

Seramai lapan lelaki dan tujuh wanita, berusia antara 21 dan 38 tahun, didakwa minum, merokok dan menyanyi dalam kejadian itu.

Dalam kes keempat, polis mendapati 12 lelaki dan tujuh wanita - berusia antara 21 dan 39 tahun - yang didakwa berminum arak dan menyanyi di sebuah rumah kedai di East Coast Road pada 1 Mac.

Pengendali unit itu disiasat bagi kesalahan di bawah Akta Hiburan Awam dan Kawalan Arak (Bekalan dan Pengambilan).

Kesalahan menyediakan hiburan awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen yang sah masing-masing membawa denda hingga $20,000.

Kesalahan mengambil pekerja asing tanpa pas kerja yang sah membawa denda antara $5,000 hingga $30,000, hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Kesalahan bekerja tanpa pas kerja yang sah membawa hukuman penjara hingga dua tahun, denda hingga $20,000, atau kedua-duanya.

Polis menasihatkan orang ramai agar mengambil serius langkah jarak selamat. Bagi kesalahan tidak mematuhi langkah jarak selamat di bawah Peraturan Covid-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, pesalah boleh dipenjara hingga enam bulan, denda hingga $10,000, atau kedua-duanya.

Polis berkata mereka akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap kegiatan jenayah dan pelanggaran peraturan jarak selamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg