Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat lelaki guna galah halang pekerja pasang jaring cegah burung di Fernvale

Jun 27, 2023 | 7:35 PM
SEKAT KERJA: Seorang lelaki kelihatan menggunakan galah untuk menghalang pekerja menjalankan kerja pemasangan jaring di sebuah blok di Fernvale, Sengkang.
SEKAT KERJA: Seorang lelaki kelihatan menggunakan galah untuk menghalang pekerja menjalankan kerja pemasangan jaring di sebuah blok di Fernvale, Sengkang. - Foto STOMP

Seorang penduduk sedang membantu dalam siasatan polis selepas beliau dilihat menghalang pekerja memasang jaring cegah burung di luar flatnya di Fernvale, Sengkang.

Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) memberitahu The Straits Times pada Selasa pekerja tersebut tidak mempunyai rancangan untuk memasang jaring itu di luar flat penduduk berkenaan.

Ini kerana lelaki berusia 45 tahun itu telah memilih untuk menolak pilihan ciri itu, yang dipasang bagi mencegah burung merpati berehat, berak dan bersarang di pelantar pendingin hawa.

Satu laporan polis telah difail mengenai seorang penduduk pada 21 Jun lalu.

Polis mengesahkan ia menerima laporan mengenai satu kes tindakan melulu di Blok 471C Fernvale Street pada 21 Jun, 1.26 petang.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan seorang lelaki, 45 tahun, sedang membantu dalam siasatan,” tambah polis.

Dalam satu video yang disiarkan di Stomp pada 22 Jun, seorang penduduk lelaki kelihatan menggunakan sebatang galah dan kemudian mencapai tali keselamatan yang dilengkapkan pada gondola itu dalam tindakan untuk menyekat pekerja tersebut melakukan kerja pemasangan.

Pekerja itu kelihatan sedang berbincang dengan penduduk berkenaan, dan salah seorang daripada mereka mengambil gambar sementara lelaki itu memekik terhadap mereka.

Akhbar berbahasa Cina Shin Min Daily News melaporkan penduduk itu berkata:

“Saya rasa marah sekali dan saya memutuskan untuk membuat pekerja itu berhenti kerana saya tidak terjejas oleh burung dan tidak setuju mengenai kerja pemasangan itu.”

Beliau juga berkata jaring itu akan menjadikan lebih sukar untuk mengecat tembok luar dan melakukan kerja penyenggaraan ke atas sistem pendingin hawanya.

AMKTC menjelaskan jaring cegah burung itu bukan satu kemudahan tetap dan hanya meliputi pelantar pendingin hawa.

“Ia dilengkapkan dengan ruang pembukaan menerusi zip di tepinya, yang memudahkan akses bagi kerja penyenggaraan pendingin hawa dan baik pulih atau kerja pemasangan jika perlu,” kata seorang jurucakap.

Majlis bandaran itu telah menyediakan jaring tersebut bagi penduduk beberapa blok tertentu yang sedang menjalani kerja baik pulih dan hiasan semula, dan meneruskan pemasangannya selepas sekitar 80 peratus penduduk memilihnya.

Jurucakap AMKTC itu menegaskan bahawa “bagi mereka yang tidak memilihnya, AMKTC tidak akan memasang jaring burung itu di luar unit mereka”.

Di bawah Akta Majlis Bandaran 1988, majlis bandaran boleh melakukan kerja naik taraf hartanah dikongsi umum demi manfaat penduduk estet HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg