Polis menahan 34 orang kerana disyaki terlibat dalam kesalahan seks dan judi hasil operasi dua hari oleh Divisyen Polis Central yang berakhir Khamis (2 Ogos).
Dalam satu kenyataan, Pasukan Polis Singapura berkata 25 wanita dan sembilan lelaki berusia 22-74 tahun ditangkap dalam serbuan pada Sabtu di kawasan seperti Jalan Besar, Lavender Street, Stamford Road dan Middle Road.
Seramai 25 wanita ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Piagam Wanita dan Akta Imigresen. Mereka dipercayai telah mengiklankan khidmat seks dalam talian dan didakwa bekerja dari hotel dan apartmen yang disewa.
Perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Piagam Wanita. Kesemua 25 wanita itu berada di Singapura menggunakan pas lawatan sosial, yang bermakna mereka bekerja secara haram.
Pengendali rumah maksiat tanpa lesen, apabila sabit kesalahan, boleh didenda sehingga $10,000 dan dipenjara sehingga lima tahun. Sesiapa yang secara sengaja mengambil pendapatan daripada pelacuran orang lain boleh didenda sehingga $10,000 dan dipenjara sehingga lima tahun.
Sembilan lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan lumba kuda haram, kata polis. Wang tunai $2,812 telah dirampas.
Pesalah boleh didenda sehingga $5,000 dan dipenjara sehingga enam bulan. Mereka yang didapati terlibat mengendali judi boleh didenda antara $20,000 dan $200,000, dan dipenjara sehingga lima tahun.
Dalam kenyataan itu, pihak polis berkata ia akan berusaha keras mengekang dan bertindak tegas terhadap kegiatan haram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg