MESEJ yang disebar menyatakan polis melaksanakan pemeriksaan di unit tempat tinggal untuk tujuan penguatkuasaan langkah jarak selamat adalah palsu, kata polis dalam satu kenyataan pada Selasa (14 April).
Merujuk kepada kiriman yang disebarkan melalui khidmat pengiriman teks dan WhatsApp, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata bahawa Polis tidak akan memeriksa tempat tinggal penduduk setempat untuk penguatkuasaan jarak selamat di bawah langkah pemutus litar dari 7 April hingga 4 Mei nanti.
Di bawah langkah itu, penduduk diminta untuk tidak keluar dari rumah kecuali bagi urusan penting dan pekerja yang merupakan petugas khidmat penting. Yang lain harus bertugas dari rumah termasuk pelajar juga.
Namun, jika polis mendapati bahawa ada individu yang melanggar perintah itu semasa mengurus jenis kes lain melibatkan kawasan perumahan, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Polis merujuk kepada satu kes pertikaian keluarga melibatkan satu unit flat di Jurong West Avenue 1 pada Sabtu (11 April).
Semasa mengurus kes itu pada sekitar 9.55pm, polis mendapati terdapat perhimpunan keluarga, termasuk satu pasangan suami isteri yang tidak tinggal di flat itu.
Flat itu didiami ibu lelaki itu, pakciknya dan saudara lain.
Pasangan suami isteri itu diberi amaran kerana telah melanggar peraturan jarak selamat di bawah Akta (Langkah Sementara) Covid-19 2020.
Sementara itu, polis menggesa agar penduduk setempat tidak berkongsi maklumat yang belum disahkan benar kerana ia bakal mengejutkan orang awam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg