Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Trafik: Kemalangan, kematian lalu lintas naik pada 2021

Polis Trafik: Kemalangan, kematian lalu lintas naik pada 2021
LEBIH ramai orang terkorban atau cedera dalam kemalangan jalan raya tahun lalu, kata Polis Trafik.
Memberikan perangkaan tahunannya semalam, ia berkata sekitar 107 orang maut di jalan raya tahun lepas berbanding 83 orang pada 2020.
Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding 118 yang meninggal dunia pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Bilangan yang cedera akibat kemalangan jalan raya mencapai 7,184 tahun lalu, berbanding 5,669 pada 2020.
Namun, bilangan kemalangan jalan raya yang melibatkan pejalan kaki warga emas berusia 60 tahun dan ke atas pula berkurangan pada 2021 iaitu 189, berbanding 222 pada 2020.
Kematian melibatkan warga emas kekal sebanyak 15 bagi kedua-dua tahun.
Sebab utama kemalangan itu ialah mangsa melintas sembarangan. Ia merangkumi separuh daripada kemalangan yang meragut nyawa.
Pejalan kaki warga emas serta penunggang motosikal kekal sebagai kumpulan yang membimbangkan, kerana kumpulan ini terus menjadi kumpulan tertinggi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga terkorban atau tercedera.
"Bilangan kemalangan jalan raya yang melibatkan pejalan kaki warga emas pula berkurangan pada 2021. Namun begitu, pejalan kaki warga emas serta penunggang motosikal kekal sebagai kumpulan yang membimbangkan, kerana kumpulan ini terus mewakili kadar kemalangan jalan raya yang tidak seimbang mengakibatkan kecederaan atau kematian,'' kata Komander Polis Trafik, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Encik Gerald Lim, dalam sidang akhbar semalam.
Kemalangan maut yang melibatkan pejalan kaki warga emas menyumbang lebih daripada 65 peratus daripada kematian kemalangan yang melibatkan pejalan kaki pada tahun lalu.
Penunggang motosikal dan pembonceng membentuk 57.1 peratus daripada keseluruhan kemalangan jalan raya dan 46.7 peratus daripada kematian jalan raya pada 2021.
Jumlah kemalangan melibatkan motosikal meningkat daripada 3,180 pada 2020 mencapai 3,433 pada tahun lalu.
Penunggang motosikal dan pembonceng yang cedera juga naik daripada 3,381 pada 2020 kepada 3,659 pada 2021.
Seramai 50 daripada mereka meninggal dunia tahun lalu.
Bagi menangani masalah itu, Polis Trafik menyatakan ia akan terus melibatkan pengguna warga emas dan penunggang motosikal agar memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya.
Tahun lalu, pasukan itu mengadakan sesi perkongsian dengan warga emas dan menunjukkan video keselamatan jalan raya bagi menggalak penunggang motosikal memakai pakaian yang dapat melindungi mereka jika berlaku kemalangan.
Sementara itu, bilangan kemalangan melibatkan pemandu mabuk mencapai 153 tahun lalu daripada 146 pada 2020.
Jumlah kemalangan yang menyebabkan korban jiwa susut kepada lapan daripada 13 pada 2020.
Jumlah yang ditangkap akibat memandu dengan keadaan mabuk susut 9.6 peratus dengan mencapai 1,371 tahun lalu, daripada 1,517.
Sementara itu, mereka yang ditangkap kerana memandu melebihi kelajuan lebih rendah, mencapai 139,277, daripada 163,823 pada 2020.