Pusat Anti-Penipuan (ASC) Polis dan UOB Bank berjaya menyelamatkan lebih 900 mangsa yang menjadi sasaran penipu daripada mengalami kerugian lebih $5.19 juta hasil satu operasi bersama yang dijalankan dari 15 Mei 2023 hingga 14 Jun 2023.
Semasa operasi itu, ASC dan UOB Bank memanfaatkan penggunaan teknologi Automasi Proses Robotik (RPA) untuk mengautomasikan pelbagai proses.
Ini termasuk perkongsian dan pemprosesan maklumat serta penghantaran pemberitahuan SMS secara meluas kepada bakal mangsa, yang mempercepat campur tangan dan mengekang berlakunya kerugian kewangan, kata polis dalam satu kenyataan Isnin.
“Pengesanan masa nyata pemindahan dana merentasi lebih 700 akaun bank disyaki, diikuti dengan pengenalan pantas individu yang telah memindahkan wang ke dalam akaun yang dipercayai berunsur penipuan, membolehkan ASC dan UOB Bank menghantar lebih 1,300 pemberitahuan SMS kepada bakal mangsa penipuan,” jelas kenyataan itu.
Mangsa hanya menyedari penipuan selepas menerima pemberitahuan SMS daripada SPF yang menasihati mereka untuk menghentikan pemindahan wang selanjutnya.
Penempatan pegawai bank di ASC turut memudahkan kerjasama rapat antara kedua-dua polis dan bank, kata polis.
Polis menggesa orang ramai agar menggunakan kaedah ‘ACT’ iaitu singkatan bagi ‘Menambah’ (Add), ‘Periksa’ (Check) dan ‘Beritahu’ (Tell) pihak berkuasa dan orang lain untuk membanteras penipuan.
‘ACT’ menggariskan tiga tindakan yang perlu diambil oleh individu untuk melindungi diri mereka dan masyarakat daripada penipuan.
Yang pertama adalah menambah ciri keselamatan seperti ScamShield dan pengesahan dua faktor untuk akaun peribadi.
Tetapkan juga had transaksi untuk perbankan Internet, untuk mengehadkan jumlah wang yang mungkin hilang sekiranya berlaku penipuan.
Yang kedua adalah semak petanda penipuan yang berpotensi dengan bertanya soalan, permintaan semakan fakta untuk maklumat peribadi dan pemindahan wang, dan mengesahkan kesahihan penyenaraian dan ulasan dalam talian. Luangkan masa untuk melakukan semakan.
Jika ia terlalu bagus untuk dipercayai, ia mungkin tidak benar dan satu penipuan.
Yang terakhir adalah beritahu pihak berkuasa dan orang lain tentang pertemuan penipuan dengan melaporkan kepada bank, ScamShield, atau dengan memfailkan laporan polis.
Maklumkan kepada orang lain tentang penipuan berterusan dan langkah pencegahan yang boleh mereka ambil.
Dalam pada itu, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penipuan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan polis di 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat secara dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg