Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis: Waspada akan penipuan kerja libatkan 'komisen' tiket wayang

Polis: Waspada akan penipuan kerja libatkan 'komisen' tiket wayang
SATU penipuan pekerjaan melibatkan mangsa ditawarkan komisyen bagi merangsang penjualan tiket wayang dikenal pasti.
Polis berkata dalam satu nasihat semalam bahawa ia mengesan 189 kes penipuan pekerjaan sejak bulan lalu dan menggesa orang awam berhati-hati terhadap satu jenis penipuan melibatkan pembelian dan penjualan tiket wayang.
Penipuan itu melibatkan penipu mendekati mangsa melalui aplikasi kiriman mesej. Penipu kemudian memperkenalkan kepada mangsa kononnya tawaran pekerjaan yang membolehkan mereka meraih komisyen menerusi penjualan tiket wayang.
Mereka yang bersetuju akan dihubungi penipu melalui khidmat pesanan WhatsApp dan diarahkan ke sebuah laman web untuk mendaftar bagi akaun dan meletak duit dalam akaun itu.
Penipu kemudian memberi mangsa akaun bank milik orang tidak dikenali untuk membuat bayaran. Mangsa percaya kerja yang mereka lakukan adalah sah kerana akaun mereka akan menunjukkan komisyen yang mereka terima selepas membuat kerja itu.
Mereka hanya menyedari mereka telah ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan duit daripada akaun tersebut, kata polis.
Polis menasihati orang ramai usah menerima pekerjaan yang menawarkan hasil lumayan bagi usaha yang sedikit, jangan memuat turun aplikasi daripada sumber tidak dikenal pasti dan usah mengirim wang kepada orang tidak dikenali atau belum pernah jumpa.
Mereka yang ragu-ragu atau ingin lebih banyak maklumat tentang jenayah sedemikian boleh menghubungi talian hotline polis 1800-255-0000.