Politeknik Temasek (TP) telah mengesan beberapa pelajar yang menghisap vape semasa ujian alat pengesan vape baru-baru ini di kampus, sebagai sebahagian usaha mengurangkan penggunaannya.
Menurut jurucakap TP, pelajar-pelajar tersebut telah dikenakan tindakan disiplin, namun tidak memberikan butiran lanjut, lapor The Straits Times (ST).
Politeknik itu kini sedang menilai keberkesanan pengesan vape dan sejauh mana peranti tersebut sesuai digunakan secara lebih meluas, di tengah-tengah minat yang semakin meningkat daripada sekolah dan organisasi lain terhadap sensor tersebut.
Maklumat daripada ujian TP itu akan menyokong usaha berterusan untuk mencegah penggunaan vape di kawasan sekolah, termasuk peningkatan rondaan keselamatan, kata jurucakap tersebut.
Masalah penggunaan vape juga telah menyebabkan sekolah-sekolah di Britain dan Amerika Syarikat menggunakan pengesan vape untuk mengesan pelajar yang menghisapnya.
Politeknik Republic (RP) berkata ia tidak mempunyai rancangan untuk memasang pengesan vape di kampus, manakala Politeknik Singapura (SP) berkata ia akan “terus menilai penggunaan sistem pengesan vape sebagai sebahagian daripada langkah berterusan untuk menangani masalah vape”.
Politeknik Nanyang (NYP), Politeknik Ngee Ann (NP) dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tidak memberikan respons kepada pertanyaan sama ada mereka mempunyai rancangan serupa.
Pengesan vape, yang biasanya berukuran sebesar piring, berfungsi dengan memantau mutu udara di dalam bilik, dengan mengesan asap, aerosol vape dan zarah halus.
Innotec Solutions, sebuah syarikat tempatan yang memasarkan pengesan vape, berkata jumlah pertanyaan mengenai produknya telah berganda dalam tempoh lima minggu lalu.
Jurucakapnya, Encik Wilbert Tan, berkata: “Saya rasa sekolah kini lebih terbuka untuk menggunakan teknologi sebagai langkah mencegah penggunaan vape.”
Dalam beberapa bulan yang lalu, syarikatnya telah memasang pengesan vape untuk sebuah politeknik, sekolah antarabangsa dan beberapa sekolah menengah.
Sebuah syarikat tempatan baru-baru ini memperkenalkan kit ujian pantas, seperti ujian Covid-19, untuk mengesan etomidate – anestetik dalam Kpod atau vape yang dicampur dadah sintetik.
Sehelai kertas ujian dalam kit itu perlu dikesat pada permukaan atau muncung vape, kemudian dicelupkan ke dalam larutan sebelum dititis pada penunjuk ujian.
Keputusan boleh didapati dalam masa lima minit.
Syarikat itu juga mempunyai kit ujian untuk mengesan etomidate dalam air kencing seseorang.
Pengarah syarikat tersebut, yang enggan namanya disiarkan, berkata: “Sekolah boleh menggunakan kit ini untuk membuat saringan awal terhadap pelajar yang disyaki menyalahgunakan Kpods.
“Ia membantu pihak sekolah mendapatkan tahap penyaringan sebelum pihak berkuasa dipanggil.”
Beliau berkata setiap kit ujian berharga sekitar $5.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg