Sebanyak 11 rapat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan diadakan pada 1 Mei iaitu hari terakhir kempen dan orang ramai dijangka membanjiri lokasi tersebut.
Pihak polis, pada 30 April, berkata mereka telah mengeluarkan permit kepada enam parti dan seorang calon bebas untuk mengadakan rapat.
Parti tersebut ialah Parti Kuasa Rakyat (PPP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP), Parti Demokratik Singapura (SDP), parti Titik Merah Bersatu (RDU), serta calon bebas, Encik Jeremy Tan.
Rapat itu dijadual berlangsung dari 7 malam hingga 10 malam pada 1 Mei.
Berikut senarai lokasi rapat bagi setiap parti pembangkang:
Berikut senarai lokasi rapat bagi parti pemerintah mengikut kawasan yang ditandingi:
Calon bebas, Encik Tan, yang bertanding di SMC Mountbatten, akan mengadakan rapat di Home of Athletics di Kallang.
Para calon telah mula berkempen sejak 23 April dan dibenarkan berkempen sehingga Hari Bertenang pada 2 Mei, lapor The Straits Times (ST).
Pada 2 Mei, semua calon dan parti mesti menghentikan semua bentuk kempen dan promosi, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
Ini memberi peluang kepada pengundi untuk meneliti isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen, serta membuat keputusan secara tenang pada Hari Mengundi, 3 Mei.
Memandangkan ramai orang dijangka hadir pada rapat-rapat tersebut, polis dalam kenyataan sebelum ini, menggalakkan orang ramai yang ingin hadir ke rapat berkenaan agar menggunakan pengangkutan awam.
Mereka juga perlu bersedia dengan kemungkinan terdapat lencongan lalu lintas, penutupan lorong dan lalu lintas bergerak perlahan.
Ia juga mungkin menjejas tempat turun dan naik bagi perkhidmatan tempahan kereta sewa.
Polis berkata penggunaan tempat letak kereta berhampiran tapak rapat pilihan raya hanya dibenarkan kepada pemegang permit meletak kereta bermusim.
Kenderaan yang diletak secara haram atau menghalang laluan mungkin akan disita.
Polis turut mengeluarkan senarai barangan yang dilarang dibawa ke rapat termasuk, senjata api, peluru, pistol udara, pistol kejutan elektrik (stun gun), senapang, serta bahagian-bahagiannya.
Selain itu, bahan letupan seperti bunga api dan mercun, bahan mengakis, bahan mudah terbakar, gas pemedih mata dan semburan lada, juga dilarang.
Senjata tajam seperti parang, pedang, senjata besi knuckle duster, senjata kayu nunchaku serta alat pemukul seperti belantan, turut tidak dibenarkan.
Bahan kimia industri, jaket kalis peluru, rantai kunci yang berbentuk peluru atau senjata api, serta barang mainan yang menyerupai senjata api juga dilarang.
Objek tajam atau panjang seperti pisau yang boleh digunakan sebagai senjata, botol kaca, penunjuk laser, dan minuman dalam tin juga tidak dibenarkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg