Dua calon baru Melayu di bawah pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim dan Dr Syed Harun Alhabsyi, akan menyertai Parlimen setelah pasukan mereka menang di GRC masing-masing.
Cik Hazlina, 40 tahun, yang kini merupakan Naib Presiden Kanan Teneo, sebuah firma perundingan, merupakan mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan tidak mengaut untung, Make-A-Wish Singapore.
Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan GRC East Coast yang menang sebanyak 58.76 peratus dan turut dianggotai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Cik Jessica Tan dan Encik Dinesh Vasu Dash.
Dr Syed Harun, 40 tahun, pula ialah konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness. Beliau merupakan satu-satunya pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura.
Sebelum diumumkan sebagai calon PAP, beliau merupakan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada 2023 dan melepaskan jawatan itu pada Februari 2025 sebelum tamat penggal.
Dr Syed Harun ialah sebahagian daripada pasukan GRC Nee Soon yang meraih sebanyak 73.81 peratus yang turut terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, serta tiga muka baru, Encik Jackson Lam, Cik Lee Hui Ying dan Cik Goh Hanyan.
Dua calon Melayu PAP lain – Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, 43 tahun, yang bertanding di GRC Sengkang, dan Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun, di GRC Aljunied – tewas di kawasan undi mereka.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, 49 tahun, kalah tipis dalam persaingan di GRC Tampines.
Sebelum ini, beliau merupakan satu-satunya Anggota Parlimen (AP) Melayu pembangkang di Parlimen sejak berkhidmat sebagai AP di GRC Aljunied pada 2011.
Calon baru Melayu WP di GRC Punggol, Cik Alia Mattar, 43 tahun, juga kecundang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Bagaimanapun, parti tersebut akan menyaksikan dua muka baru Melayu – Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, di GRC Aljunied, dan Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, 36 tahun, di GRC Sengkang – mewakili kerusi pembangkang bagi Parlimen selanjutnya.
Encik Fadli, seorang peguam, pernah bertanding di GRC Marine Parade di bawah WP pada 2020.
Muka baru, Encik Abdul Muhaimin, pula merupakan pengurus kanan hartanah di bawah Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).
Pasukan Encik Fadli di GRC Aljunied yang menang sebanyak 59.68 peratus, turut disertai Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam dan Encik Kenneth Tiong.
Di GRC Sengkang pula, WP menang sebanyak 56.31 peratus. Selain Encik Abdul Muhaimin, pasukan WP di GRC ini dianggotai Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg