Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, 66 tahun, berjaya menawan kawasan undi baru GRC Punggol dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Pasukan PAP itu memenangi 55.17 peratus undi, menewaskan pasukan Parti Pekerja (WP) yang meraih 44.83 peratus undi.
GRC Punggol merupakan medan pertandingan sengit antara pasukan pimpinan Encik Gan dengan pasukan WP yang diketuai ‘calon bintang’ daripada WP, Encik Harpreet Singh Nehal, 59 tahun, seorang peguam kanan.
Anggota pasukan Encik Gan merangkumi Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, 52 tahun; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, 45 tahun; dan Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, 48 tahun.
Anggota pasukan WP pimpinan Encik Harpreet merangkumi pengarah kanan pembangunan perniagaan penerbit di sebuah firma teknologi pengiklanan, Cik Alexis Dang, 39 tahun; peguam, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43 tahun; dan pengurus kanan urusan korporat dan pemasaran, Encik Jackson Au, 35 tahun.
Encik Gan, yang digelar sebagai “penggerak pasukan petugas” (task force man) oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong semasa rapat PAP di Fullerton pada 28 April, merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menjaga ekonomi dan perdagangan Singapura selaku Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Beliau turut menerajui Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura, yang membantu perniagaan dan pekerja tempatan mengharungi ketidaktentuan yang tercetus oleh tarif meluas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Selain itu, Encik Gan pernah mempengerusikan bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi menangani pandemik Covid-19.
Dalam ucapan kemenangan di Stadium Bedok, Encik Gan mengucapkan terima kasih kepada pengundi Punggol atas sokongan dan mandat yang telah diberikan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang telah lama berkhidmat di Punggol; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang telah sama-sama bertemu penduduk Punggol untuk mendapatkan sokongan; dan juga Encik Wong kerana menempatkan beliau untuk bertanding di kawasan undi baru itu.
“Saya amat gembira menjadi sebahagian daripada pasukan PAP ini... Namun, tugasnya belum selesai. Masih banyak lagi perlu dilakukan, dan kita sedang menghadapi krisis. Ini adalah krisis sejagat.
“Kami telah bercakap tentangnya berulang kali, dan ia semakin menghampiri, dan kita perlu bekerjasama dalam harmoni. Kita mesti terus bersatu agar kita mampu menghadapi cabaran hari esok,” kata beliau.
Terdapat 123,820 pengundi di GRC Punggol. Sebanyak 822 undi ditolak, manakala 7,746 tidak mengundi.
Kehadiran Encik Gan di GRC Punggol merupakan antara kejutan besar yang berlaku pada Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Encik Gan telah dipindahkan pada saat-saat akhir ke GRC Punggol.
Beliau telah berkhidmat sebagai AP di GRC Chua Chu Kang sejak 2011.
Tempat beliau di GRC Chua Chu Kang digantikan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang berpindah dari GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Punggol merupakan antara lima GRC baru – yang lain ialah Pasir Ris-Changi, Jurong East-Bukit Batok, Marine Parade-Braddell Heights dan West Coast-Jurong West – yang dinamakan dalam Laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.
Perubahan di sebalik perubahan sempadan itu adalah disebabkan jumlah pengundi bertambah secara berbeza-beza di serata negara.
Contohnya, jumlah pengundi di GRC Pasir Ris-Punggol bertambah paling besar – sekitar 18,000 – sejak pilihan raya pada 2020 dan dijangka terus meningkat apabila perumahan baru dibangunkan di sana, kata EBRC.
Justeru, ia mengeluarkan estet Punggol dari GRC Pasir Ris-Punggol dan menyatukannya dengan SMC Punggol West untuk membentuk GRC Punggol yang baru. - Laporan tambahan NUR ‘AQILAH SYIFA’


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg