Topic followed successfully
Go to BHkuFadli Fawzi selami cabaran, cerminkan pandangan penduduk Kaki Bukit
Fadli Fawzi selami cabaran, cerminkan pandangan penduduk Kaki Bukit
Fadli Fawzi selami cabaran, cerminkan pandangan penduduk Kaki Bukit
Lima Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam – daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) – yang tampil sebagai muka baharu semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2025 mengimbau perjalanan setahun dalam dunia politik.
Pengalaman selama setahun berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied disifatkan oleh Encik Fadli Fawzi sebagai satu perjalanan yang cukup bermakna.
Meskipun sudah bersama Parti Pekerja (WP) sejak 2013, mandat di Kaki Bukit ini memberinya perspektif lebih mendalam tentang realiti kehidupan penduduk di peringkat akar umbi.
Bagi beliau, kawasan perumahan Kaki Bukit merupakan sebuah masyarakat yang unik kerana penduduknya.
“Pandangan dan perspektif mereka membentuk sebuah tapestri unik yang membolehkan saya mendapat gambaran lebih halus tentang realiti kehidupan mereka.
“Ada kalanya, kita perlu menyelami sebab sebenar mengapa penduduk meminta bantuan. Saya pernah bertemu seorang penduduk yang meminta bantuan membaiki lampu rumah, namun rupa-rupanya ia kerana suaminya baru sahaja meninggal dunia dan sebelum ini, arwah yang sentiasa menguruskan hal tersebut,” singkap Encik Fadli kepada Berita Harian (BH).
Di dewan Parlimen, Encik Fadli komited membawa isu-isu dasar yang menyentuh nilai-nilai teras negara.
Ucapan sulungnya mengenai sistem meritokrasi serta isu warisan di Kampong Gelam antara yang mencuri tumpuan.
“Antara sorotan utama saya di Parlimen adalah semasa menyampaikan ucapan sulung mengenai sistem meritokrasi, jika diambil secara ekstrem, boleh menjejaskan keharmonian dan ikatan masyarakat.
“Perdebatan ini penting agar kita dapat menilai semua secara mendalam.
“Selain itu, saya juga menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan sewa di Kampong Gelam dalam ucapan Belanjawan saya, di samping menekankan kepentingan melibatkan rakyat secara lebih meluas dalam pembentukan sejarah negara demi memupuk rasa kepunyaan yang lebih teguh,” katanya.
Sebagai wakil rakyat pembangkang, beliau turut menyifatkan peranannya dalam mengajukan soalan di Parlimen sebagai satu amanah untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap pemerintah.
Namun, di sebalik perbahasan serius, Encik Fadli juga aktif menyertai kegiatan kemasyarakatan.
“Saya tidak dapat lupakan apabila menyanyikan lagu Mandarin, The Moon Represents My Heart, di acara ‘getai’ bersama AP WP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Eileen Chong.
“Saya juga berkesempatan menyelamatkan seekor kucing yang hilang.
“Dan saya juga gembira berpeluang bermain bola sepak bersama legenda negara seperti Fandi Ahmad dan Malek Awab bagi pasukan Parlimen.
“Ia pengalaman yang sangat istimewa kerana saya membesar dengan menonton aksi mereka.
“Walaupun sudah berusia, mereka tetap berjaya menjaringkan gol terhadap kami!” tambahnya lagi.
“
“Pandangan dan perspektif mereka membentuk sebuah tapestri unik yang membolehkan saya mendapat gambaran lebih halus tentang realiti kehidupan mereka (penduduk).”