Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faisal Manap berpindah ke Tampines, Pritam Singh terus terajui pasukan WP di GRC Aljunied

Apr 23, 2025 | 2:24 PM
pasukan Parti Pekerja, GRC Aljunied
Pasukan WP di GRC Aljunied - Foto SPH

Naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap berpindah keluar dari GRC Aljunied untuk bertanding di GRC Tampines, selepas ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh membuat perubahan minit terakhir.

Encik Pritam akan sekali lagi mengetuai pasukannya untuk mempertahankan kawasan Aljunied dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Pasukan WP di Aljunied kini dibentuk Encik Pritam, 48 tahun, pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam, 47 tahun, Encik Fadli Fawzi 44 tahun dan Encik Kenneth Tiong, 36 tahun.

WP di Aljunied dicabar oleh pasukan PAP yang dianggotai hampir semua muka baru – Cik Chan Hui Yuh, Dr Faisal Abdul Aziz, Encik Daniel Liu, Dr Adrian Ang dan Encik Jagathishwaran Rajo.

Permohonan para calon daripada kedua-dua parti itu untuk bertanding di kawasan undi perwakilan berkumpulan (GRC) tersebut diterima pada Hari Penamaan Calon pada 23 April.

Sempadan GRC Aljunied sebahagian besarnya kekal tidak berubah dalam pilihan raya akan datang, walaupun tiga daerah mengundi di Tampines West - yang terdiri daripada 3,834 pengundi - telah dipindahkan ke GRC Tampines yang dipegang oleh PAP.

Sehingga 1 Februari, kawasan undi itu mempunyai 144,032 pengundi berdaftar.

GRC Aljunied jatuh ke tangan parti pembangkang dalam pilihan raya pada 2011 selepas pasukan WP yang diterajui ketua parti pada ketika itu, Encik Low Thia Khiang, berjaya menawan kawasan tersebut daripada pasukan PAP.

WP menang dengan 54.72 peratus undi pada tahun tersebut – kali pertama dalam sejarah PAP hilang sebuah GRC dalam pilihan raya sejak sistem GRC diperkenalkan pada 1988.

Anggota lain dalam pasukan WP yang menang itu termasuk Encik Pritam, Cik Lim, Encik Faisal, dan Encik Chen Show Mao.

Pasukan PAP pada masa itu diketuai Encik George Yeo, yang merupakan Menteri Ehwal Luar pada ketika itu. 

Anggota PAP lain terdiri daripada mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Lim Hwee Hua; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed; Cik Cynthia Phua; dan Encik Ong Ye Kung, yang kini Menteri Kesihatan.

Dalam GE 2015, pasukan WP yang sama sekali lagi menang di Aljunied dengan 50.96 peratus undi.

Dalam GE 2020 yang diadakan di tengah-tengah pandemik Covid-19, parti pembangkang itu – kali ini diterajui Encik Pritam – menang dengan margin lebih besar selepas meraih 59.95 peratus undi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg