Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata beliau akan melakar pendekatan baru untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam dengan baik.
Pendekatan baru itu akan diambil demi mengenal pasti keprihatinan serta isu-isu yang dihadapi supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Bercakap di sidang media Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyusuli pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada awal pagi 4 Mei, Encik Masagos berkata beliau menyedari akan pelbagai keprihatinan yang diutarakan, terutamanya dalam media sosial, dalam kempen pilihan raya kali ini dan berusaha untuk menangani kebimbangan tersebut.
“Saya fikir setelah kemenangan para Anggota Parlimen (AP) PAP Melayu yang dipilih, saya akan buat beberapa pendekatan baru untuk mendekati masyarakat dengan lebih (baik) lagi, mengenali apakah sebenarnya keprihatinan mereka, dengan pendekatan supaya masalah dan isu-isu masyarakat kita itu mendapat (tumpuan) atau terdapat tindakan lanjut,” kata beliau dalam sidang media yang diadakan di The Treasury.
Sidang media itu diketuai Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan turut dihadiri para menteri.
Ini termasuk Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Juga hadir ialah calon bagi GRC Aljunied, Cik Chan Hui Yuh.
Encik Masagos bersama pasukan PAP di GRC Tampines menang dengan meraih 52.02 peratus undi dalam GE2025, sekali gus menangkis usaha Parti Pekerja (WP) diketuai Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, yang mahu menguasai GRC itu.
GRC itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan dua parti lain adalah Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Dengan pilihan raya kini sudah berakhir, Encik Masagos menyeru masyarakat Melayu/Islam agar terus bersatu untuk membina masyarakat yang lebih baik.
“Marilah kita bersatu dan membina masyarakat kita bersama, kerana banyak sekali yang kita dapat capai apabila kita dapat bersatu, terutama program-program yang telah dilakarkan untuk masa depan selama lima tahun akan datang, umpamanya Kolej Pengajian Islam yang pertama di Singapura,” kata beliau, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Menjawab soalan tentang penilaian sokongan Melayu terhadap PAP, Encik Wong berkata pihaknya belum menjalankan analisis terperinci pada ketika ini.
Namun, parti tersebut mendapati beberapa isu yang timbul semasa kempen pilihan raya, termasuk pengaruh oleh warga asing, dan juga komen-komen dalam talian yang mengajak rakyat Singapura mengundi berdasarkan politik kaum.
Encik Wong berkata “beberapa komen tersebut bersifat negatif, berniat jahat, dan bahkan, toksik”.
“Kami lihat ada perkara ini yang berlaku, dan situasinya bertambah baik selepas sidang media diadakan, namun komen tersebut terus tersebar.
“Adakah ia mempunyai impak ke atas keputusan pilihan raya? Mungkin. Berapa banyak? Saya tidak pasti kerana kami akan perlu melakukan analisis lebih terperinci setelah hari ini,” kata beliau.
“
“Marilah kita bersatu dan membina masyarakat kita bersama, kerana banyak sekali yang kita dapat capai apabila kita dapat bersatu, terutama program-program yang telah dilakarkan untuk masa depan selama lima tahun akan datang, umpamanya Kolej Pengajian Islam yang pertama di Singapura.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg