Sepanjang setahun yang lalu, saya banyak mendampingi masyarakat Melayu/Islam dan bersama anda dalam pelbagai program dan kegiatan.

Anda membuka pintu hati anda, menerima kehadiran saya dengan penuh mesra di majlis berbuka puasa, acara kebudayaan serta sesi bersama masyarakat.

Semasa sesi-sesi ini, anda berkongsi harapan, kebimbangan dan aspirasi anda dengan jujur dan ikhlas.

Ramai juga terus memberi saya semangat untuk belajar Bahasa Melayu.

Terima kasih!

Asal Usul dan Jati Diri yang Kukuh

Setiap kali saya bersama masyarakat Melayu/Islam, saya dapat rasakan semangat dan rasa bangga anda terhadap jati diri serta warisan anda.

Saya melihatnya sendiri semasa pembukaan semula Taman Warisan Melayu.

Buat pertama kalinya, perarakan budaya diadakan di sekitar Kampong Gelam.

Para seniman, kumpulan masyarakat, peniaga dan relawan berganding bahu untuk meraikan warisan masyarakat yang begitu kaya.

Kampong Gelam ialah tempat yang istimewa untuk kita semua.

Ia mengingatkan kita akan hubungan erat kita dengan rantau ini. Ia juga sebahagian daripada sejarah dan warisan yang kita kongsi bersama.

Kita hargai pertalian ini.

Sebab itulah bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita, bahasa lagu kebangsaan kita, dan juga bahasa arahan Angkatan Bersenjata Singapura.

Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada identiti Singapura!

Memandangkan kedudukan kita di rantau ini, ada baiknya jika rakyat Singapura belajar Bahasa Melayu dan lebih mendalami budaya Melayu.

Pertalian ini bukan sahaja tentang warisan kita.

Malah, ia membantu kita mengeratkan hubungan dengan jiran-jiran serantau dan membuka lebih banyak peluang untuk rakyat dan perniagaan Singapura.

Izinkan saya beri satu contoh, iaitu Pondok Abang.

Pondok Abang diasaskan oleh Encik Abdul Rahman bin Yad Ali.

Beliau bermula dengan sebuah gerai penjaja.

Masakannya mendapat sambutan hangat.

Lebih banyak gerai dibuka.

Pondok Abang juga ialah sebuah dapur pusat dan menjadi pembekal kepada peniaga makanan yang lain.

Hari ini, Pondok Abang diurus oleh anaknya, Hasan. Mereka masih berniaga di gerai penjaja, dan juga menjadi pengeluar makanan halal yang utama.

Hasan sedar pasaran untuk masakan tradisional Melayu semakin berkembang di rantau ini.

Kini, Pondok Abang sudah pun bertapak di Brunei dan Malaysia, dan bakal tebarkan sayap ke negara-negara jiran lain.

Encik Rahman dan Hasan ada bersama kita di sini. Kepada anda berdua, selamat maju jaya!

Menangani Cabaran Bersama

Pada masa yang sama, saya tahu ramai yang bimbang tentang kos sara hidup, tentang pekerjaan dan tentang masa hadapan anak-anak kita.

Saya faham kebimbangan anda.

Dunia hari ini kian tidak menentu.

Perubahan pula semakin pantas.

Namun, bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kita akan mengatasi cabaran ini bersama-sama!

Pemerintah akan terus bekerja rapat dengan para pemimpin dan badan masyarakat supaya kita lebih bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Matlamat kami jelas.

Kami mahu setiap anggota masyarakat Melayu/Islam yakin, berupaya dan ada peluang untuk berjaya.

Memperkukuh Masyarakat Kita

Satu kekuatan utama masyarakat Melayu/Islam ialah perpaduan anda.

Kita dapat melihatnya melalui M3.

Kami meluaskannya menjadi M3+ dengan melibatkan lebih ramai rakan kongsi dan lebih banyak sumber.

Apabila kita berganding bahu, lebih banyak yang boleh dicapai.

Semangat ini jelas dapat dilihat melalui program Santunan Emas.

Ia bermula sebagai usaha sama antara Masjid Al-Muttaqin, Ma:een dan Muhammadiyah demi membantu warga emas di Ang Mo Kio.

Mereka mendampingi ramai warga emas Melayu/Islam di sana. Melalui M3+, mereka menggabungkan kepakaran daripada pelbagai pihak dalam masyarakat.

Saya gembira untuk umumkan mereka akan luaskan usaha ini ke Yishun, Sembawang dan Woodlands.

Dengan ini, lebih ramai warga emas dapat meniti usia senja mereka dengan mulia dan lebih bermakna.

Kami juga sedang memperkukuh kerjasama untuk membuka lebih banyak peluang.

Sebagai contoh, kerjasama antara Pergas dengan Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME).

Melalui inisiatif ini, perusahaan yang dimiliki golongan asatizah boleh memanfaatkan khidmat nasihat, alat digital dan rangkaian perniagaan.

Dan hasilnya, perniagaan-perniagaan pula mendapat manfaat daripada kepakaran bahasa dan budaya masyarakat apabila mereka berkembang ke pasaran serantau.

Semua usaha ini berjaya membawa perubahan yang ketara.

Hari ini, lebih ramai rakyat Melayu/Islam Singapura mencipta nama dalam pelbagai sektor.

Mereka berkhidmat dengan cemerlang dalam Perkhidmatan Awam, Angkatan Bersenjata Singapura, badan kehakiman, karyawan, perniagaan dan pelbagai bidang lain.

Mereka menyumbang kepada kemajuan Singapura sambil terus berpegang teguh pada masyarakat dan warisan mereka.

Itulah yang mahu kita lihat – bukan setakat masyarakat Melayu/Islam yang kukuh, malah rakyat Melayu/Islam Singapura yang memainkan peranan lebih besar untuk Singapura.

Penutup

Saudara-saudari, kita kini mempunyai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baharu, Zaqy Mohamad.

Beliau memimpin para pemegang jawatan dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam kita.

Saya gembira melihat pemegang jawatan yang lebih muda tampil untuk memikul tanggungjawab.

Kita ada Rahayu Mahzam.

Selepas Pilihan Raya Umum yang lalu, Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Syed Harun pula sertai kami.

Mereka membawa bersama pengalaman dari sektor swasta.

Pasukan ini bekerjasama dengan baik, dan saya akan terus memperbaharu dan memperkukuh pasukan ini.

Bersama-sama, mereka akan menerajui pelbagai inisiatif.

Contohnya, Jawatankuasa Daya Ekonomi dipimpin dua AP, Dr Wan Rizal dan Saktiandi Supaat.

Mereka menerima banyak idea bernas daripada masyarakat.

Satu fokus utama ialah membantu belia Melayu/Islam membangun kemahiran, mendapat lebih banyak pengalaman dan merebut peluang dalam sektor-sektor baharu yang sedang berkembang.

Ini cuma satu daripada pelbagai usaha Zaqy dan pasukannya.

Mereka akan umumkan usaha-usaha lain kelak.

Berilah mereka sokongan padu anda agar kita dapat sama-sama membantu setiap rakyat Melayu/Islam Singapura mencapai potensi masing-masing kerana apabila masyarakat Melayu/Islam berjaya, Singapura juga berjaya.

Bersama-sama, marilah kita membina masyarakat Melayu/Islam yang lebih yakin dan Singapura yang lebih kukuh, bersatu padu dan terus bersinar.

Terima kasih.