Parti Perpaduan Nasional (NSP) akan menumpukan kempen Pilihan Raya Umum (GE) terhadap gaji minimum, pembaharuan penggunaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mengembangkan perniagaan di estet kejiranan sebagai sebahagian usaha mendorong perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Semasa berucap dalam siaran politik parti (PPB) pertama Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada 25 April, calon GRC Tampines dan naib presiden parti itu, Encik Mohd Ridzwan Mohammad, berkata NSP juga akan mengetengahkan antara lain, isu belia dan mewujudkan hab kesihatan mental.
Inisiatif sedemikian, katanya, bertujuan membantu rakyat Singapura menjalani kehidupan lebih baik, mendapat pekerjaan lebih baik dan mendapat pendidikan lebih baik.
Ini memandangkan lapisan masyarakat seperti golongan keluarga, anak muda dan warga emas telah diberitahu “inilah yang sebaik mungkin” oleh parti pemerintah, katanya.
“Lihat di sekeliling anda – keluarga yang bekerja lebih keras berbanding sebelum ini, namun masih bergelut dengan peningkatan kos.
“Anak muda dibebani sistem pendidikan yang menyusur mereka pada usia awal (dan) warga emas yang bimbang sama ada caruman CPF mereka akan bertahan.
“Ini bukan Singapura yang kita impikan,” ujar Encik Mohd Ridzwan.
Beliau menambah parti itu akan membina ekonomi yang berfungsi bagi rakyat Singapura dan bukannya “untuk segelintir orang yang terpilih”.
Ini merangkumi inisiatif gaji sara hidup minimum sebenar, pembaharuan penggunaan CPF supaya “tiada warga emas hidup lebih lama daripada simpanan mereka” dan dasar yang mengutamakan SME bagi mengembangkan perniagaan.
Ini di samping mengetengahkan dan memberikan pentas bagi belia orak masa hadapan mereka, serta inisiatif kesihatan dan perumahan seperti hab kesihatan mental di setiap bandar HDB.
Beliau berkata: “Ada yang akan mengatakan visi kami terlalu tegar. Terlalu tidak realistik.
“Tetapi saya katakan – apa yang sebenar tidak realistik ialah mengharapkan hasil yang berbeza daripada dasar lama yang sama!”
NSP bertanding di GRC Tampines dan GRC Sembawang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg