Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP kekal di GRC East Coast dengan 58.76% undi

Menang dengan prestasi lebih baik berbanding 53.39% undi pada GE2020
May 4, 2025 | 2:21 AM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang menang di GRC East Coast, melambai para penyokong di Stadium Bedok pada 3 Mei.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang menang di GRC East Coast, melambai para penyokong di Stadium Bedok pada 3 Mei. - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya mempertahankan kawasan undi GRC East Coast, meraih undi 58.76 peratus dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ia satu kemenangan dengan prestasi lebih baik berbanding 53.39 peratus undi yang diraih parti pemerintah itu dalam GE2020.

Pasukan pemenang itu diketuai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, 55 tahun.

Anggota lain dalam pasukan PAP itu merangkumi Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, 47 tahun; Timbalan Speaker, Cik Jessica Tan, 58 tahun; dan dua muka baru – Encik Dinesh Vasu Dash, 50 tahun; dan Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun.

Pasukan WP pula meraih 41.24 peratus undi. Pasukan itu dipimpin anggota veteran parti tersebut, Encik Yee Jenn Jong, 60 tahun.

Pasukannya merangkumi Encik Nathaniel Koh, 41 tahun, dan tiga muka baru – Cik Paris V. Parameswari, 51 tahun; Encik Sufyan Mikhail Putra, 33 tahun; dan Encik Jasper Kuan, 46 tahun.

Berucap di Stadium Bedok selepas pengumuman rasmi kemenangan pasukan PAP, Encik Tong berkata:

“Keputusan malam ini bukan sekadar satu angka. Ia mewakili kepercayan dan keyakinan anda kepada kami dan ia mewakili tanggungjawab besar yang kami terima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati untuk berkhidmat kepada anda.

“Malam ini bukan akhirnya sebuah kempen. Ia permulaan satu penggal perkhidmatan baru kepada penduduk kami di East Coast.”

Terdapat 151,073 pengundi di GRC East Coast. Sebanyak 1,565 undi ditolak, manakala 13,932 tidak mengundi.

Sempadan GRC East Coast menyaksikan beberapa perubahan dalam GE2025 berbanding GE2020.

Estet di Chai Chee dan Joo Chiat, yang merupakan sebahagian daripada GRC Marine Parade dahulu, kini digabungkan ke dalam GRC East Coast – meningkatkan jumlah pengundi di kawasan itu daripada 120,239 kepada 150,691.

Ini menjadikan GRC lima anggota itu keempat terbesar dalam GE2025 – di samping Ang Mo Kio, West Coast-Jurong West dan Nee Soon.

Kawasan Siglap di bawah GRC East Coast pula kini menjadi sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Changi yang baru.

Dalam GE2020, pasukan PAP yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Heng Swee Keat, mengalahkan pasukan WP dengan meraih 53.39 peratus undi.

Namun, ia antara kawasan undi PAP dengan kemenangan tipis, sebahagiannya disebabkan kekuatan pasukan WP, yang termasuk calon bintangnya ketika itu, Cik Nicole Seah.

Sebaliknya, ia merupakan prestasi terbaik bagi WP di GRC itu sejak 2006 – apabila East Coast buat kali pertama ditandingi lebih daripada satu parti.

Selain Encik Heng, anggota PAP lain yang bertanding pada 2020 termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, Encik Tan Kiat How, Cik Jessica Tan dan Cik Cheryl Chan.

Encik Heng, Dr Maliki dan Cik Chan bagaimanapun tidak bertanding dalam GE2025 ini setelah bersara daripada dunia politik.

Anggota pasukan WP pula terdiri daripada peguam, Encik Terence Tan dan Encik Dylan Ng; pengarah sekutu Persatuan Barah Singapura, Encik Kenneth Foo; dan penyelidik, Encik Abdul Shariff Aboo Kassim. – Laporan tambahan DAHLIA ZULKIFLI dan IZWANDI AZMAN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg