Parti-parti pembangkang akan meningkatkan usaha untuk menawan hati pengundi, dengan ada yang menyuarakan soal tempoh persiapan yang singkat menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Parlimen dibubarkan pada 15 April, dengan Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Rakyat Singapura akan mengundi pada 3 Mei untuk memilih 97 Anggota Parlimen (AP) di 33 kawasan pilihan raya.
Pelbagai parti pembangkang mengeluarkan kenyataan selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan, lapor The Straits Times (ST).
Parti Demokratik Singapura (SDP) mengkritik tempoh masa yang “terlalu singkat” antara laporan daripada Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac dengan pembubaran Parlimen, yang jaraknya hanya 35 hari sahaja, berbanding 2020 dengan laporan diterbitkan tiga bulan lebih awal.
SDP, yang merancang bertanding di beberapa Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC), berkata rakyat Singapura memerlukan lebih masa untuk menilai isu seperti kos sara hidup sebelum membuat keputusan.
Parti itu menegaskan, masa yang singkat menghalang rakyat daripada membuat keputusan yang tepat.
Encik Ravi Philemon, Setiausaha Agung RDU, berkata parti pembangkang hanya mempunyai dua minggu untuk bersedia bagi pilihan raya yang penting.
Beliau juga mempertikaikan mengapa Hari Penamaan Calon diadakan pada 23 April, yang menyebabkan Hari Bertenang bertindih dengan Hari Pekerja, menghalang parti pembangkang daripada memberi respons kepada kenyataan parti pemerintah semasa Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.
RDU telah bersedia sejak 2020 dan akan terus fokus pada isu kos sara hidup, pekerjaan dan kualiti hidup.
Calon-calon RDU yang mungkin bertanding di beberapa kawasan, termasuk GRC Nee Soon dan GRC Holland-Bukit Timah, akan diumumkan menjelang Hari Penamaan Calon.
PPP kecewa kerana Parti Tindakan Rakyat (PAP) menetapkan pilihan raya tanpa memberi masa yang cukup antara pengeluaran Writ Pilihan Raya dan Hari Penamaan Calon.
Parti itu juga berkata langkah ini seolah-olah untuk memanfaatkan rasa bimbang ekoran tarif ‘timbal balik’ Encik Trump.
PPP menekankan isu penting seperti kos sara hidup, ketidaktentuan pekerjaan dan kekurangan semakan dalam sistem.
Setakat ini, mereka berhasrat bertanding di GRC Tampines dan GRC Ang Mo Kio.
Pengerusi Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Encik Desmond Lim, berkata partinya sudah siap untuk pilihan raya, dengan 50,000 risalah dan 2,000 poster kempen dicetak.
Mereka juga mempunyai 200 sukarelawan yang dilatih untuk bertindak sebagai ejen pengundian.
SDA akan mengadakan perhimpunan dalam talian dan telah mula merakam bahan kempen.
Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng, berkata parti beliau tidak terkejut dengan tarikh pilihan raya dan menganggapnya merugikan demokrasi.
NSP kini mempergiatkan kempen dan telah melantik sukarelawan untuk kawasan seperti GRC Sembawang, GRC Tampines dan GRC Jalan Besar.
SPP melihat pilihan raya ini sebagai peluang untuk rakyat menyuarakan kebimbangan mereka.
Parti ini akan bertanding di SMC Potong Pasir dan GRC Bishan-Toa Payoh, memberi fokus pada isu kos hidup, ketidaksamaan pendapatan dan dasar yang lebih inklusif.
Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu, berkata pilihan raya ini memberi peluang kepada penduduk untuk membentuk masa depan Singapura.
SUP akan meningkatkan usaha mendekati masyarakat dan penyelarasan dengan para pencadang dan penyokong.
Parti ini juga sedang menyediakan bahan pilihan raya dan akan mengumumkan calon-calon mereka pada Hari Penamaan Calon.
Setiausaha Agung Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Encik Lim Tean, mengalu-alukan pengumuman pilihan raya.
Parti itu akan bertanding di Potong Pasir, Mountbatten, Radin Mas, Queenstown, Yio Chu Kang serta GRC Jalan Besar dan GRC Tanjong Pagar.
PAR menyatakan ia telah lama bersedia untuk pilihan raya ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg