Perbahasan lima hari Amanat Presiden dari 22 hingga 26 September menyaksikan empat Anggota Parlimen (AP) Melayu baru – dua daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan dua daripada Parti Pekerja (WP) – membuat ucapan sulung mereka.
Dalam ucapan mereka di Parlimen, mereka berkongsi bahawa kejayaan Singapura mesti diukur bukan sahaja dengan pertumbuhan, bahkan dengan cara negara menyokong rakyatnya seperti keluarga, pekerja, belia dan golongan rentan.
AP PAP, Dr Syed Harun Alhabsyi (GRC Nee Soon) dan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) membentangkan ciri-ciri membina sebuah masyarakat ‘Kita Dahulu’, yang turut menyokong golongan rentan dan memupuk kesejahteraan kolektif.
AP WP, Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), menyeru lebih sokongan untuk mereka yang ketinggalan, manakala Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) memohon lebih sokongan dalam perumahan, pemulihan dan pendidikan.
Dr Syed Harun berkata membina sebuah masyarakat ‘Kita Dahulu’ boleh mengukuhkan perpaduan sosial, mempertajam daya saing Singapura dan memupuk masyarakat penyayang yang dipacu nilai.
Beliau berkata ‘Kita Dahulu’ bukan tentang memadamkan perbezaan tetapi mendakap sinergi merentas masyarakat.
Ia juga dapat dijadikan sebagai panduan untuk rakyat Singapura bertolak ansur, menjaga antara satu sama lain dan memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan.
Dalam mengukuhkan perpaduan sosial, Dr Syed Harun menambah, Singapura mesti menerapkannya setiap hari seperti di sekolah, kawasan kejiranan, estet kediaman dan tempat kerja.
“Kita mesti mereka bentuk (perpaduan sosial) dalam kurikulum pendidikan kita, di kawasan kejiranan kita, melalui cara kita merancang estet awam dan dalam keseluruhan program di tempat kerja kita atau dalam masyarakat.
“Kita mesti membenarkan pelbagai interaksi sosial dan peluang bertemu, untuk sentiasa berlaku,” kata Dr Syed Harun.
Menurut beliau, keupayaan rakyat bekerjasama meskipun mempunyai perbezaan pendapat, menyesuaikan diri dalam perundingan masalah dan bekerja sebagai satu pasukan akan mempertajamkan daya saing Singapura.
Beliau menambah, jika ‘Kita Dahulu’ dapat diterapkan, rakyat Singapura akan dikenali sebagai individu yang boleh diharap, sifat yang akan menjadikan pengambilan tenaga kerja cemerlang di dalam dan luar negara.
Dalam memupuk masyarakat penyayang yang dipacu nilai, Dr Syed Harun berkata konsep ‘Kita Dahulu’ menggalakkan keadilan, empati dan rasa hormat terhadap semua dalam kalangan warga, dalam apa jua yang dilakukan.
“Konsep ‘Kita Dahulu’ bercakap tentang kita sebagai masyarakat yang tidak memijak orang lain untuk keuntungan kita sendiri.
“Jika kita mahu berjaya, kita perlu melakukannya dengan maruah dan keadilan,” kata Dr Syed Harun.
Seiring dengan mesej tersebut, Cik Hazlina, dalam ucapannya, berkata kekuatan Singapura terletak pada perpaduan sosial, daya untuk bersatu dan sokongan kolektif keluarga dan masyarakat.
Beliau menekankan pentingnya menyokong belia dalam usaha mencari pekerjaan, menyediakan sokongan yang disesuaikan buat keluarga dan menyeru sokongan yang lebih luas bagi warga emas supaya mereka boleh hidup dengan bermaruah.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan inisiatif peringkat nasional dan koordinasi bersama-sama agensi perkhidmatan sosial dalam membentuk pendekatan yang lebih tersusun, untuk menjaga mereka yang tidak mempunyai orang lain.
“Saya mengharapkan sinergi yang lebih baik di antara semua inisiatif supaya warga emas kita mempunyai satu titik perhubungan untuk penjagaan masyarakat dan mereka boleh memberi tumpuan untuk menjalani tahun emas mereka dengan penuh bermakna dan bermaruah,” kata Cik Hazlina.
Di peringkat sejagat, Cik Hazlina memuji bantuan kemanusiaan berterusan oleh Singapura, khususnya bagi membantu warga Palestin dan menggesa usaha tersebut dapat berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Cik Hazlina juga berharap Singapura dapat mengambil pendirian yang lebih jelas mengenai konflik di Gaza, dan menyeru pemerintah terus teguh dan tegas dalam membantu mangsa perang dan terus bersuara bagi mereka yang tertindas.
Encik Fadli juga memuji sifat murah hati dan solidariti rakyat Singapura merentasi masyarakat, termasuk kuil, yang bersatu untuk mengumpul dana bagi membantu warga di Gaza.
Semasa ucapannya, Encik Fadli juga membangkitkan isu mengenai akibat yang tidak diingini daripada prinsip meritokrasi dan “ketidaktentuan yang dirasakan oleh ramai rakyat Singapura”.
Walaupun prinsip meritokrasi memberi ganjaran kepada bakat dan pencapaian, Encik Fadli mengingatkan bahawa meritokrasi, jika dibawa ke tahap ekstrem, secara tidak sengaja boleh memupuk pemikiran “menang dan kalah” dalam kalangan rakyat.
“Meritokrasi yang dibawa ke tahap ekstrem mampu menggalakkan tanggapan salah bahawa mereka yang berjaya menganggap kejayaan mereka telah diperoleh semata-mata kerana kerja keras.
“Sementara itu, mereka yang terkebelakang disangka memang layak ketinggalan kerana kurang berusaha,” kata Encik Fadli.
Menurut Encik Fadli lagi, terdapat “ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat”, khususnya penduduk berpendapatan rendah, yang menghadapi tekanan kewangan, kos sara hidup yang tinggi dan ketidakpastian pekerjaan.
Untuk membina masyarakat yang benar-benar inklusif, terutama bagi warga emas, Encik Fadli menyeru dasar yang membolehkan warga emas hidup berdikari, bermaruah dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat.
Encik Muhaimin pula menekankan keperluan mendesak supaya pemerintah memberikan sokongan yang disasarkan dalam aspek perumahan, pemulihan dan pendidikan.
Meskipun beliau mengakui bahawa pemerintah telah meningkatkan akses perumahan untuk rakyat, Encik Muhaimin berkata ia tetap menjadi cabaran bagi ramai warga.
Khususnya, bagi keluarga berpendapatan rendah, ibu bapa tunggal dan individu yang tidak dapat tinggal bersama ahli keluarga, tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pemerintah agar menggunakan fleksibiliti dalam menilai permohonan, seperti mengambil kira dinamik keluarga dan meluaskan pasaran flat sewa awam.
Bagi isu pemulihan dadah pula, Encik Muhaimin berharap pemerintah dapat memberikan sokongan lebih menyeluruh melangkaui penguatkuasaan, seperti kaunseling, bimbingan masyarakat dan sokongan pekerjaan.
Mengenai pendidikan, beliau menyeru pendekatan berasaskan data untuk menangani jurang perkauman, khususnya dalam kalangan pelajar Melayu.
Beliau juga menyeru penjejakan data terperinci dan dasar oleh Kementerian Pendidikan (MOE) yang disasarkan untuk meningkatkan hasil pendidikan.
Beliau turut memohon pecahan data terperinci untuk mengetahui peratusan Melayu berpendapatan rendah yang sampai ke universiti, termasuk pengeluaran data pelajar Melayu yang memohon Subsidi Yuran Pengajian Tinggi Mendaki sejak sedekad lalu.
“MOE harus menjejaki kadar tamat pengajian universiti setiap tahun mengikut etnik untuk lebih memahami hasil pendidikan merentas masyarakat dan mengeluarkan data tentang kadar keciciran sekolah mengikut latar belakang pendapatan serta etnik, untuk mengenal pasti kumpulan yang terdedah yang memerlukan sokongan tambahan,” kata Encik Muhaimin.
Perbahasan Amanat Presiden di Parlimen berakhir pada 26 September, dengan seramai 81 AP yang memberikan ucapan, termasuk 32 AP baru yang membuat ucapan sulung mereka.
“
Kita mesti mereka bentuk (perpaduan sosial) dalam kurikulum pendidikan kita, di kawasan kejiranan kita, melalui cara kita merancang estet awam dan dalam keseluruhan program di tempat kerja kita atau dalam masyarakat. Kita mesti membenarkan pelbagai interaksi sosial dan peluang bertemu untuk sentiasa berlaku.“
Mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan inisiatif peringkat nasional dan koordinasi bersama agensi perkhidmatan sosial dalam membentuk pendekatan yang lebih tersusun, untuk menjaga mereka yang tidak mempunyai orang lain.“
Meritokrasi yang dibawa ke tahap ekstrem mampu menggalakkan tanggapan salah bahawa mereka yang berjaya menganggap kejayaan mereka telah diperoleh semata-mata kerana kerja keras. Sementara itu, mereka yang terkebelakang disangka memang layak ketinggalan kerana kurang berusaha.“
MOE harus menjejaki kadar tamat pengajian universiti setiap tahun mengikut etnik untuk lebih memahami hasil pendidikan merentas masyarakat dan mengeluarkan data tentang kadar keciciran sekolah mengikut latar belakang pendapatan serta etnik, untuk mengenal pasti kumpulan yang terdedah yang memerlukan sokongan tambahan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg