Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP pertahan kubu kuat Aljunied peratusan serupa GE2020

WP peroleh 59.68% undi, Pritam sifatkan GE2025 mencabar, PAP beri saingan amat hebat
May 4, 2025 | 1:34 AM
WP, GE2025, menang, GRC Aljunied
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (tengah), bersama pasukannya yang menang di GRC Aljunied, terdiri daripada (dari kiri) Encik Kenneth Tiong, Encik Fadli Fawzi, Encik Gerald Giam, dan Cik Sylvia Lim, mengucapkan terima kasih kepada para penyokong di atas pentas di Stadium Serangoon, menyusuli pengumuman rasmi kemenangan pasukan mereka dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BM oleh KHALID BABA

Parti Pekerja (WP) sekali lagi menang di GRC Aljunied dengan 59.68 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), mengekalkan kedudukan mereka di kubu kuat parti pembangkang itu sejak 2011.

Peratusan undi yang diraih WP itu serupa dengan keputusan yang diraih mereka dalam GE2020, iaitu 59.95 peratus.

Pasukan parti pembangkang itu diketuai Encik Pritam Singh, 48 tahun, yang juga Setiausaha Agung WP.

Anggota lain terdiri daripada Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, 60 tahun; Encik Gerald Giam, 47 tahun; muka baru, Encik Kenneth Tiong, 36 tahun; dan Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, yang telah bertanding di GRC Marine Parade di bawah WP pada 2020.

Pasukan itu mengalahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terdiri daripada calon kali kedua, Cik Chan Hui Yuh, 48 tahun; Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun; Encik Adrian Ang, 42 tahun; Encik Daniel Liu, 40 tahun; dan Encik Jagathishwaran Rajo, 37 tahun.

Berucap di atas pentas menyusuli pengumuman rasmi kemenangan pasukannya, Encik Pritam mengucapkan terima kasih kepada penduduk Aljunied atas mandat dan sokongan mereka.

“Sokongan anda adalah sangat penting dalam misi untuk mencapai dan berusaha ke arah Parlimen yang lebih seimbang.

“Kerja ini akan diteruskan,” kata beliau, yang berada bersama pasukan WP di Stadium Serangoon.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pilihan raya ini mencabar.

“Segalanya bermula daripada sifar. Kita akan mula bekerja semula esok dan kita akan teruskan perjuangan ini.

“Akhir sekali, kami ucapkan terima kasih kepada pihak lawan kami daripada pasukan PAP.

“Saya ucapkan semoga berjaya kepada mereka.

“Saya juga doakan kesejahteraan keluarga mereka dan semua penyokong mereka.

“Mereka telah memberikan saingan yang sangat hebat, seperti yang kami jangkakan dan saya harap mereka juga sempat berehat malam ini,” kata Encik Pritam.

Berucap dalam bahasa Melayu, Encik Fadli turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi GRC Aljunied atas kepercayaan dan sokongan mereka kepada WP.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada anda dan meningkatkan mutu hidup anda.

“Bersama-sama, kita akan membina sebuah negara yang lebih demokratik dan masyarakat yang lebih kukuh,” kata beliau.

Terdapat 144,298 pengundi di GRC Aljunied, dengan 1,341 undi ditolak dan 10,847 pula tidak mengundi.

WP telah membuat perubahan pada saat akhir kepada pasukannya yang bertanding di Aljunied bagi GE2025 semasa Hari Penamaan Calon, dengan langkah mengejutkan untuk memindahkan Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap, dari kawasan undi itu untuk bertanding di GRC Tampines.

Sempadan bagi GRC Aljunied hampir tidak berubah dalam pilihan raya kali ini, walaupun tiga daerah mengundi di Tampines West – terdiri daripada 3,834 pengundi – telah dipindahkan ke GRC Tampines yang dipegang PAP.

GRC Aljunied merupakan yang pertama dimenangi parti pembangkang sejak sistem GRC diperkenalkan pada 1988, satu pencapaian penting dalam sejarah politik Singapura.

Pasukan WP yang diketuai ketua parti ketika itu, Encik Low Thia Khiang, memperoleh 54.72 peratus undi pada 2011. 

Dalam GE2020, pasukan WP yang dipimpin Encik Pritam sekali lagi menang kawasan undi itu dengan 59.95 peratus undi.

“Sokongan anda adalah sangat penting dalam misi untuk mencapai dan berusaha ke arah Parlimen yang lebih seimbang. Kerja ini akan diteruskan.”
Encik Pritam Singh, ketua pasukan WP di GRC Aljunied.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg