Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pope Francis kecam kematian kanak-kanak dalam pengeboman Israel

Beliau juga sangsi sama ada Israel atau Hamas sedia tamatkan konflik
Sep 14, 2024 | 9:47 AM
Pope Francis bercakap semasa satu sidang media dalam pesawat pada 13 September selepas lawatan 12 hari di Asia Tenggara dan Oceania.
Pope Francis bercakap semasa satu sidang media dalam pesawat pada 13 September selepas lawatan 12 hari di Asia Tenggara dan Oceania. - Foto EPA-EFE

DALAM PESAWAT POPE: Paus (Pope) Francis mengecam kematian kanak-kanak Palestin dalam serangan tentera Israel di Gaza, dengan menyatakan bahawa pengeboman sekolah, atas “anggapan” menyerang militan Hamas, sebagai “jelek”.

Dalam penerbangan pulang ke Rom dari Singapura pada 13 September, Paus Francis menyatakan keraguan sama ada Israel atau Hamas, yang kini berperang selama 11 bulan, sedang berusaha untuk menamatkan konflik itu.

“Saya minta maaf kerana terpaksa mengatakan ini,” kata beliau. “Tetapi saya tidak fikir mereka mengambil langkah untuk berdamai.”

Ketua Gereja Katolik berusia 87 tahun itu bercakap dalam sidang akhbar dengan wartawan selepas lawatan 12 hari di Asia Tenggara dan Oceania.

Paus Francis berkata beliau bercakap melalui telefon dengan anggota kariah Katolik di Gaza “setiap hari” dan “mereka beritahu saya perkara yang jijik, perkara yang sukar”.

“Apabila anda melihat mayat kanak-kanak yang terbunuh, apabila anda melihatnya, dengan anggapan bahawa beberapa gerila berada di sana, sebuah sekolah yang dibom, ini dianggap jelek,” kata Paus Francis.

Paus Francis yang menyokong gesaan untuk gencatan senjata dalam konflik dan untuk pembebasan tebusan Israel yang ditahan Hamas, berkata “kadang-kala saya fikir ia adalah perang yang melampau, amat melampau”.

Perang Israel-Hamas dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober, apabila kumpulan militan itu membunuh sekitar 1,200 orang dan menjadikan sekitar 250 orang sebagai tebusan, menurut kiraan Israel.

Kempen tentera Israel pula menyebabkan jaluran itu musnah dan membunuh lebih daripada 41,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada 12 September bahawa perang itu telah menyebabkan ekonomi Gaza “hancur”.

Paus Francis juga bercakap tentang pelbagai isu lain semasa sidang akhbar selama 40 minit itu.

Antaranya beliau mengkritik dasar mantan Presiden Amerika, Encik Donald Trump dan Naib Presiden Cik Kamala Harris, dan berkata umat Katolik Amerika perlu “memilih kejahatan yang lebih kecil” apabila mereka mengundi pada November. Namun beliau tidak mengulas lanjut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg