SEORANG lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai porter di Hospital Besar Changi (CGH) telah diuji positif bagi koronavirus kelmarin, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Beliau merupakan satu daripada dua kes tiada kaitan yang diumumkan.
Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang simptom dan dikesan apabila beliau diuji bagi Covid-19 pada Selasa lalu sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual (RRT).
Ujian awalnya daripada RRT, yang terakhir pada 8 Jun, kesemuanya negatif bagi jangkitan Covid-19, kata kementerian itu.
"Dalam ujian awal, beliau telah didapati positif bagi varian Delta dan kini sedang menantikan ujian pengesahan."
Pihak kementerian menambah bahawa keputusan ujian serologi beliau menunjukkan terdapatnya jangkitan awal.
Lelaki itu telah menerima dos vaksin yang pertama pada 14 Januari dan dos kedua pada 4 Februari.
Dalam satu pos Facebook, CGH berkata kali terakhir porter itu di kerja ialah pada pagi Selasa dan telah mematuhi segala langkah berjaga-jaga dengan memakai alat perlindungan peribadi.
Pihak hospital juga telah membersihkan kawasan yang terjejas dan pengesanan kontak rapat serta pemantauan ujian swab sedang dijalankan.
MOH berkata tiga lagi orang ditambah kepada kelompok pusat makanan Bukit Merah View.
Ini membawa bilangan keseluruhan kes dalam kelompok itu kepada 85 individu.
Tiga kes baru itu sebahagian daripada 12 kes berkaitan kelmarin.
Satu daripada kes dalam kelompok itu ialah budak lelaki berusia 12 tahun, pelajar Sekolah Menengah Crest dan kali terakhir di sekolah ialah pada 18 Mei.
Pelajar itu merupakan anggota keluarga dan mempunyai hubungan dengan isi rumah dua lagi kes, termasuk satu yang dikaitkan dengan kelompok itu.
Budak lelaki itu kini diletakkan dalam kuarantin pada Selasa lalu.
Dia tidak menunjukkan sebarang simptom dan dikesan melalui satu ujian pada Rabu lalu semasa menjalani kuarantin.
Keputusan ujiannya didapati positif pada Khamis lalu sementara menantikan keputusan ujian serologinya.
Secara berasingan, MOH berkata ia telah menamatkan ujian terhadap penduduk dan pelawat di kawasan Redhill.
Daripada 1,972 ujian yang dijalankan itu, tiga telah diuji positif bagi Covid-19 dan telah pun dilaporkan dalam semakan terakhir sebelum ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg