Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IPPT, ICT sambung semula secara bertahap Oktober: Mindef

Sep 3, 2020 | 7:06 PM
LANGKAH BERJAGA-JAGA: Bagi memastikan latihan dalam kem dijalankan dengan selamat, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) antara lain menyelaraskan ujian 'swab' buat mereka yang menjalani latihan dalam kem (ICT) di peringkat unit. - Foto MINDEF
LANGKAH BERJAGA-JAGA: Bagi memastikan latihan dalam kem dijalankan dengan selamat, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) antara lain menyelaraskan ujian 'swab' buat mereka yang menjalani latihan dalam kem (ICT) di peringkat unit. - Foto MINDEF -

UJIAN Kecekapan Jasmani Individu (IPPT) dan latihan dalam kem (ICT) bagi anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) akan disambung semula secara bertahap mulai Oktober.

Ini didedahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu lampiran pos di Facebook pada Khamis (3 September).

NSmen dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang tempoh pelaksanaan IPPT-nya ditutup pada atau sebelum 7 Februari 2021 akan dikecualikan daripada ujian itu sekali ini sahaja.

Ini memandangkan pusat kecergasan ditutup lebih awal kerana Covid-19 sebelum ini dan dibuka secara beransur-ansur kini.

Mereka yang dikecualikan akan diberitahu secara individu menerusi pesanan SMS dan kiriman surat bulan ini.

Sebagai sebahagian langkah menjaga keselamatan, Mindef menjelaskan, NSmen yang kembali bagi ICT di peringkat unit akan menjalani ujian Covid-19. Ini adalah bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dicegah, dikenal pasti dan dikekang agar tidak merebak.

Mulai 1 Oktober juga, Pusat Penyesuaian Kecergasan di pelbagai kem juga akan dibuka semula bagi IPPT.

Mindef menjelaskan ujian IPPT kelak akan dijalankan dalam kumpulan lebih kecil sejajar dengan langkah pengurusan keselamatan yang melindungi kesihatan dan kesejahteraan NSmen.

IPPT dan ICT dihentikan sementara waktu buat NSmen pada 31 Mac lalu. Dalam pesanan SMS kepada NSmen pada 5 Ogos lalu, Mindef menyatakan IPPT akan terus digantung hingga 30 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg