Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prasekolah Tampines ditutup sehari selepas beri notis kepada ibu bapa

ECDA halang pengendali mohon lesen baru
Jul 4, 2024 | 3:17 PM
Jurucakap ECDA berkata prasekolah Metis telah beritahu ibu bapa tentang penutupan itu pada 1 Julai, sehari sebelum ia ditutup.
Jurucakap ECDA berkata prasekolah Metis telah beritahu ibu bapa tentang penutupan itu pada 1 Julai, sehari sebelum ia ditutup. - Foto ST

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) akan mengambil tindakan terhadap sebuah prasekolah di Tampines yang memberitahu ibu bapa ia ditutup sehari sebelum menghentikan operasi secara mendadak.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh tiga bulan sebuah prasekolah menutup pusatnya secara mengejut.

Pada 1 Julai kira-kira jam 6 petang, ibu bapa anak-anak yang bersekolah di Metis Little Campus di Tampines menerima surat daripada pihak sekolah yang menyatakan bahawa ia perlu ditutup berkuat kuasa serta-merta pada 2 Julai.

Dalam laporan The Straits Times (ST), surat dari pengarah urusan Metis, Cik Jacqueline Lau, berkata akaun bank sekolah itu dibekukan, dan beliau akan memfailkan muflis.

Gambar yang diambil pada 3 Julai di Metis Little Campus, yang terletak dalam kondo The Tapestry, menunjukkan pintunya dikunci dan lampu dimatikan.

Pada 4 Julai, jurucakap ECDA berkata ia menyedari pemberhentian operasi Metis Little Campus secara mengejut kerana pengendali pusat itu telah membuat permohonan muflis.

ECDA berkata prasekolah dikehendaki memberi notis enam bulan kepada ibu bapa dan ECDA sebelum menghentikan operasi bagi memberi masa yang mencukupi untuk ibu bapa membuat aturan alternatif untuk anak-anak mereka.

Jurucakap ECDA berkata ini merupakan prasekolah kedua oleh pengendali pusat itu yang menghentikan operasi dalam masa yang singkat.

“Oleh itu, ECDA akan mengambil tindakan tegas dan menghalang pengendali daripada memohon sebarang lesen Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak baru pada masa hadapan.”

Penutupan cawangan di Tampines berlaku kurang daripada tiga bulan selepas penutupan mengejut cawangan di Redhill.

April lalu, Prasekolah Metis tiba-tiba menghentikan operasi di premisnya di One@Redhill Centre pada 8 April, selepas memaklumkan kepada ibu bapa pada Mac.

ECDA sebelum ini memberitahu akhbar ST penutupan cawangan Redhill adalah berikutan pemilik rumah mengambil semula premis itu, berikutan tunggakan sewa sekolah.

Kesemua 19 kanak-kanak di sana telah mendapat tempat di prasekolah lain.

Beberapa ibu bapa dan anak-anak mereka yang menghadiri cawangan Tampines masih dalam kebingungan.

Seorang bapa, yang mendaftarkan anaknya di Metis lewat tahun lalu dan hanya mahu dikenali sebagai Encik K, berkata:

“Syukurlah, kami mempunyai pembantu di rumah. Jadi, kami tidak perlu kelam kabut mencari urusan penjagaan anak. Tetapi ini secara tiba-tiba mengganggu pembelajaran dan rutin anak saya.”

Beliau berkata tiada perkara yang luar biasa sebelum 1 Julai, sambil menambah bahawa guru-guru baru sahaja memaklumkan ibu bapa mengenai rancangan makan bagi separuh kedua 2024.

Jurucakap ECDA berkata agensi itu telah menghubungi semua ibu bapa yang terjejas untuk membantu penempatan prasekolah alternatif.

Ibu bapa yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi ECDA di contact@ecda.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg