PRESIDEN Halimah Yacob akan berada di Kazakhstan dan Uzbekistan bagi satu lawatan negara dari 21 hingga 25 Mei. Ini adalah lawatan negara pertama oleh seorang Presiden Singapura ke Asia Tengah. Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu Puan Halimah akan berada di Kazakhstan dari 21 hingga 23 Mei atas undangan Presiden Kassym-Jomart Tokayev. Beliau kemudian akan berada di Uzbekistan dari 23 hingga 25 Mei atas undangan Presiden Shavkat Mirziyoyev. Di Kazakhstan, Puan Halimah akan diberikan sambutan istiadat negara di Istana Akorda dan menemui Presiden Tokayev, yang akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari negara bagi memberi penghormatan kepada Puan Halimah. Beliau juga akan dijamu makan malam oleh Perdana Menteri Alikhan Smailov. Di Uzbekistan, Puan Halimah akan diberi sambutan istiadat negara di Istana Kuksaroy dan menemui Presiden Mirziyoyev, yang akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari negara bagi memberi penghormatan kepada Puan Halimah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg