SELAMA enam tahun berturut-turut, Presiden Halimah Yacob telah mengekalkan kedudukannya sebagai antara 50 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.
Demikian menurut Senarai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 2023 terbitan Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam (RISSC).
Tahun ini, kedudukan Puan Halimah naik tiga tangga daripada 36 ke 33.
Sebagai Presiden kelapan dan presiden wanita pertama di Singapura, beliau juga satu-satunya wanita yang disenaraikan antara 50 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.
Sebagai Presiden, Puan Halimah mempromosikan daya usaha yang menyokong masyarakat bersepadu, mengukuhkan jalinan antara agama dan mengiktiraf semua pekerja yang menyumbang kepada pengembangan dan pembangunan Singapura.
Puan Halimah berprofil tinggi di peringkat antarabangsa dan sering menemui pemimpin negara lain.
Pertama kali beliau disenaraikan adalah pada 2018 dan ketika itu, beliau berada di kedudukan ke-45.
Berada di kedudukan pertama dalam senarai itu ialah Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud.
Turut disenaraikan ialah Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, di kedudukan ke-13 dan pemain bola sepak, Mohamed Salah, dari Mesir yang berada di kedudukan yang ke-39.
Puan Halimah merupakan salah seorang daripada wanita yang yang telah disenaraikan dalam antara 50 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.
Yang lain adalah Cik Munira Qubeysi dari Syria, yang menduduki tempat ke-25, dan presiden Tanzania, Cik Samia Suluhu Hassan, yang menduduki tempat ke-38.
Baki 450 yang disenaraikan juga termasuk tiga lagi rakyat Singapura.
Antaranya ialah mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, dalam kategori Politik.
Beliau kini merupakan Duta Singapura ke Kuwait dan Utusan Khas Menteri Ehwal Luar Singapura ke Timur Tengah.
Tahun ini merupakan tahun ke-14 Encik Zainul telah disenaraikan dalam terbitan tersebut.
Seorang lagi individu yang tersenarai adalah imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Al-Attas.
Habib Hassan, telah menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan dalam membina keharmonian beragama di Singapura dan seluruh Asia Tenggara.
Beliau telah mengutuk tindakan keganasan dan merupakan salah satu individu yang telah menyatukan Islam bersama agama lain di Singapura.
Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, yang merupakan Timbalan Ketua Pendakwa dan Penasihat Undang-Undang Negara Kanan di Pejabat Peguam Negara (AGC), turut disenaraikan dalam senarai tersebut.
Encik Faizal disenaraikan di bawah kategori Dermawan, Kebajikan dan Pembangunan atas sumbangannya kepada menawarkan inisiatif pendidikan yang menganjurkan biasiswa bagi pelajar dari keluarga pendapatan rendah.
Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jauhari akhbar ini pada tahun 2020.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg