Presiden Halimah Yacob telah menghadiri Perbarisan Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Sabtu (1 Julai).
Perbarisan tersebut berlangsung di Institut Tentera SAFTI (SAFTI MI).
Puan Halimah selaku tetamu terhormat telah menyampaikan Anugerah Unit Kombat Terbaik kepada Batalion Komando Pertama semasa majlis itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam pos di Facebook sempena Hari SAF, berkata mempertahankan tanah air merupakan tanggungjawab kita bersama.
“Kita hanya ada diri kita sebagai tempat bergantung untuk melindungi warga dan kedaulatan kita.
“Ketegangan geopolitik di bahagian lain dunia juga mengingatkan kita untuk tidak mengambil ringan soal keamanan,” tulis Encik Lee.
Beliau juga berkata warga Singapura tidak boleh mengabaikan ancaman yang semakin kompleks dalam domain digital dan itulah sebabnya cabang keempat SAF, Perkhidmatan Digital dan Perisikan, ditubuhkan pada akhir 2022.
Encik Lee turut melahirkan rasa terima kasih ke atas sumbangan anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), anggota tentera sepenuh masa, anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) serta keluarga mereka dalam memastikan keselamatan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg