PRESIDEN Halimah Yacob mengakhiri lawatannya ke Beijing untuk menghadiri acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping di mana beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan menjadi tuan rumah Sukan tersebut.
Puan Halimah tiba di Beijing pada 3 Februari lalu dan telah selamat pulang ke Singapura kelmarin.
Semasa lawatannya, kedua-dua pemimpin itu turut mendedahkan nama asrama pelajar yang dibina oleh warga Singapura yang menetap di China - 'Zhixinlou' - serta menyaksikan penandatanganan beberapa memorendum persefahaman (MOU).
Asrama itu dibina di Daerah Pengshui, Chongqing, sebagai sebahagian daripada projek amal yang dimulakan oleh masyarakat Singapura di China, sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Singapura-China pada 2020.
Asrama itu melambangkan kepentingan yang diletakkan kedua-dua negara terhadap bidang pendidikan.
Menulis di Facebook, Puan Halimah berkata beliau dan Encik Xi telah menekankan hubungan dua hala antara Singapura dan China yang hebat yang kekal kukuh sepanjang pandemik Covid-19.
Kedua-dua pemimpin itu setuju bahawa Singapura dan China mesti terus bekerjasama rapat untuk meningkatkan hubungan dua hala tersebut.
"Kami bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam kedua-dua bidang kerjasama sedia ada dan baru.
"Kami juga menantikan penyambungan semula sepenuhnya sambungan udara dan hubungan individu-ke-individu apabila keadaan membenarkan," tulis Puan Halimah.
Selain itu, beliau dan Encik Xi juga menyaksikan penandatangan MOU antara Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura dengan Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Nasional China mengenai "Kerjasama Mempromosikan Pemuliharaan Panda Gergasi" untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pemuliharaan dan penyelidikan beruang panda.
Semasa lawatannya ke China, Puan Halimah turut bertemu Perdana Menteri, Encik Li Keqiang, dan menghadiri jamuan makan yang dihoskan Encik Xi dan isteri, Cik Peng Liyuan.
Di situ, beliau turut mengambil kesempatan beramah dengan Raja Norodom Sihamoni dari Kemboja dan Putera Albert II dari Monaco.
"Kami bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam kedua-dua bidang kerjasama sedia ada dan baru. Kami juga menantikan penyambungan semula sepenuhnya sambungan udara dan hubungan individu-ke-individu apabila keadaan membenarkan."- Presiden Halimah Yacob.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg