PRESIDEN Halimah Yacob semalam telah mengiktiraf sumbangan masyarakat India-Muslim termasuk golongan perintis dalam pembangunan Singapura sejak bertahun lamanya.

"Walaupun masyarakat India-Muslim adalah kecil berbanding masyarakat lain, ia telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan Singapura sejak bertahun lamanya. Ramai peniaga dan karyawan yang berjaya berasal dari masyarakat India-Muslim. Masyarakat ini juga terkenal dengan sikap dermawannya," kata Puan Halimah.

Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran buku Indian Muslims in Singapore: History, Heritage and Contributions di auditorium Muis semalam.

Buku yang diterbitkan oleh anak syarikat penyelidikan AMP, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), mendokumenkan sejarah, warisan dan sumbangan masyarakat India-Muslim di Singapura sejak 1819 hingga kini.

Sempena pelancaran itu, AMP Singapura telah memulakan usaha mengumpul dana $250,000 untuk memanfaat masyarakat India-Muslim.