KERJASAMA antara Singapura dengan Filipina kekal penting di tengah-tengah cabaran yang dihadapi dunia sekarang, kata Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Beliau menambah bahawa Singapura dan Filipina mempunyai komitmen bersama kepada Asean serta keamanan dan kemakmuran rantau ini.
"Masa depan rantau ini juga akan bergantung pada cara kita memberi respons pada peluang dan cabaran bersama," ujarnya.
Puan Halimah berkata demikian semasa berucap menyambut kehadiran Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., di majlis jamuan negara yang dihosnya di Istana semalam.
Di bawah kepimpinan Encik Marcos, Puan Halimah berkata beliau yakin Singapura dan Filipina akan terus bekerja rapat untuk mempertingkat lagi hubungan antara dua negara ini.
Encik Marcos berada di Singapura dalam rangka lawatan negara dua hari kelmarin hingga semalam, atas undangan Puan Halimah.
Beliau diiringi isterinya, Cik Louise Araneta-Marcos, serta Setiausaha Kabinet dan pegawai kanan pemerintah Filipina.
Ini lawatan pertama Encik Marcos ke Singapura sejak beliau dilantik sebagai Presiden Dipilih Filipina Jun lalu menyusuli kemenangannya dalam pilihan raya pada 9 Mei.
Puan Halimah turut menggariskan kerjasama antara Singapura dan Filipina yang telah berkembang menjadi lebih kukuh dalam ucapan majlis jamuan tengah hari itu.
"Negara kita menikmati hubungan rapat dalam berbilang aspek, dengan hubungan ekonomi kukuh dan ikatan antara rakyat rapat," ujarnya.
Beliau menambah bahawa kerjasama rapat antara Singapura dan Filipina semasa krisis juga membuktikan kekuatan dan daya tahan kerjasama ini.
Semasa pandemik Covid-19 misalnya, dua negara ini menyokong satu sama lain, antara lain dengan menyumbang bekalan perubatan dan membantu warga negara satu sama lain pulang ke tanah air mereka dengan selamat.
Puan Halimah berkata semangat itulah yang telah membolehkan mereka mengharungi krisis itu bersama dan bangkit lebih kukuh.
Selain itu, kerjasama ekonomi kukuh dua negara ini telah berkembang sejajar dengan ikatan politiknya yang kukuh, tambahnya.
Puan Halimah berkata beliau telah berbincang dengan Encik Marcos dan mereka bersetuju ada lebih banyak skop untuk memperluas kerjasama antara dua negara ini.
Menurut beliau, mereka juga berbincang tentang isu kemampanan dan keselamatan makanan dalam pertemuan mereka.
Semalam, Singapura dan Filipina juga mengadakan perjanjian dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk kerjasama digital, privasi data, pengerahan pekerja penjagaan kesihatan, usaha memerangi pengganasan, kerjasama dalam bidang air serta pembangunan bandar.
Pemeteraian perjanjian dua hala itu disaksikan Encik Marcos dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Istana.
Encik Lee juga menjadi hos majlis sarapan bagi Encik Marcos semalam.
Puan Halimah turut merakamkan penghargaannya buat warga Filipina yang berkhidmat di barisan depan di negara ini dan memainkan peranan penting dalam usaha Singapura memerangi Covid-19.
"Dedikasi dan sikap berani mereka merupakan inspirasi buat kita semua.
"Saya gembira pembukaan semula sempadan membolehkan ramai warga Filipina pulang ke pangkuan keluarga dan orang tercinta," ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg