Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Halimah luluskan Belanjawan, termasuk rizab $6b perangi Covid-19

Mar 24, 2022 | 5:30 AM
BERI KELULUSAN: Puan Halimah berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Penasihat Presiden (CPA) sebelum memberi persetujuannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan. - Foto FACEBOOK HALIMAH YACOB
BERI KELULUSAN: Puan Halimah berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Penasihat Presiden (CPA) sebelum memberi persetujuannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan. - Foto FACEBOOK HALIMAH YACOB -

PRESIDEN Halimah Yacob meluluskan pengeluaran hingga $6 bilion daripada rizab lalu Singapura untuk terus membiayai perbelanjaan kesihatan awam Covid-19 negara ini semalam.

"Walaupun kita sedang bersiap sedia beralih ke norma baru, belum masanya lagi untuk mengurangkan usaha dari segi ujian, pengurusan klinikal, vaksinasi dan terapeutik," ujarnya.

Menerusi laman Facebook beliau, Puan Halimah mengumumkan beliau telah meluluskan Belanjawan pemerintah tahun ini.

Beliau turut menarik perhatian bahawa ini merupakan tahun kewangan ketiga berturut-turut Singapura perlu mengeluarkan rizabnya untuk memerangi pandemik ini.

"Pengeluaran (rizab) ini tidak dapat dielakkan kerana kita harus mengumpulkan sumber yang diperlukan untuk melindungi warga Singapura dan memperkukuh ekonomi kita," katanya.

Parlimen meluluskan Belanjawan pemerintah sebanyak $109 bilion bagi tahun kewangan akan datang selepas perbahasan selama 73 jam tentang dasar fiskal pemerintah dan anggaran perbelanjaan kementerian pada 11 Mac lalu.

Antara isu yang dikemukakan termasuk isu kemampanan, sokongan bagi pekerja khususnya pekerja bergaji rendah, kompak sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan serta usaha merapatkan jurang ketidaksamaan dan membina perusahaan Singapura agar lebih kukuh.

Puan Halimah turut menarik perhatian bahawa jumlah keseluruhan yang dijangka dikeluarkan daripada rizab lalu sepanjang dua tahun kewangan lalu ialah $42.9 bilion.

Jumlah ini lebih rendah berbanding pengeluaran sebanyak $52 bilion yang dipersetujui sebelum ini bagi tahun kewangan 2020.

"Saya yakin pemerintah berhati-hati semasa menggunakan rizab lalu, melaksana langkah yang amat diperlukan rakyat dan perusahaan kita," ujarnya.

Semasa membentangkan Belanjawan pada 18 Februari lalu, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata jumlah lebih rendah yang perlu dikeluarkan itu disebabkan respons Singapura yang cepat dan tegas terhadap pandemik itu.

Ini dapat menghindarkan hasil kesihatan awam yang lebih buruk.

Pemulihan ekonomi dan perniagaan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan turut bermakna langkah seperti peruntukan bagi kerugian pinjaman tidak digunakan.

Daripada jumlah $6 bilion yang akan dikeluarkan daripada rizab lalu bagi tahun kewangan ini, sebanyak $3.7 bilion akan digunakan bagi ujian Covid-19, pengurusan klinikal dan usaha menjejak kontak.

Sementara itu, $1.2 bilion akan diperuntuk bagi vaksinasi dan terapeutik manakala baki $1.1 bilion pula akan digunakan bagi prasarana pengasingan, pengurusan sempadan dan langkah jarak selamat.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini berkata ini merupakan langkah sementara dan luar biasa yang diperlukan untuk memastikan pertahanan kesihatan awam berbilang lapisan dalam jangka masa pendek.

Puan Halimah berkata beliau juga telah berbincang dengan Majlis Penasihat Presiden (CPA) sebelum memberi persetujuannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan itu.

"Dengan ketabahan dan kerjasama semua orang, saya yakin kita dapat mengatasi gelombang Omicron Covid-19 ini dan terus meningkatkan daya tahan kita sebagai sebuah negara," katanya.

"Saya yakin pemerintah berhati-hati semasa menggunakan rizab lalu, melaksana langkah yang amat diperlukan rakyat dan perusahaan kita." - Presiden Halimah Yacob.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg