PRESIDEN Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah menulis kepada Presiden Joko Widodo Indonesia untuk mengucapkan takziah atas gempa bumi yang melanda Pulau Lombok semalam.

Dalam surat mereka, Puan Halimah dan PM Lee turut menyampaikan tawaran pertolongan Singapura dalam usaha bantuan Indonesia berikutan bencana itu, berdasarkan keutamaan yang dinyatakan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.

Secara berasingan, pemerintah Singapura akan menyumbang AS$100,000 ($136,700) sebagai wang benih bagi memulakan rayuan pengumpulan dana awam oleh Palang Merah Singapura.

Ini diumumkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam surat beliau, Puan Halimah berkata beliau sangat sedih mendapat tahu mengenai gempa yang melanda Lombok dan mengorbankan banyak nyawa tidak bersalah dan menyebabkan kerosakan besar.

"Bagi pihak rakyat Singapura, saya mengucapkan takziah kepada keluarga terjejas, dan mengharapkan pemulihan segera.

"Singapura bersedia membantu Indonesia dalam masa sukar ini. Ingatan kami bersama rakyat Indonesia dalam masa sukar ini," tulis Puan Halimah.

Dalam surat beliau, Encik Lee berkata bagi pihak pemerintah Singapura, beliau mengucapkan takziah dan simpati mendalam kepada pemerintah dan rakyat Indonesia.

"Singapura menawarkan pertolongan kami dalam usaha bantuan yang dianjurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia.

"Ingatan kami bersama Indonesia dan rakyatnya dalam masa sukar ini," tulis Encik Lee.