Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Halimah, PM Lee ucap takziah, sanjung semangat seni tokoh batik, Sarkasi Said

Oct 15, 2021 | 4:55 PM
SENIMAN BERDEDIKASI: Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama Encik Sarkasi Said dalam acara Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2015. - Foto FAIL
SENIMAN BERDEDIKASI: Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama Encik Sarkasi Said dalam acara Hari Kebangsaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2015. - Foto FAIL -

PEMERGIAN tokoh batik Singapura yang dikenali dengan panggilan 'Baron of Batik', Allahyarham Sarkasi Said, pada Khamis malam (14 Oktober) begitu dirasakan negara.

Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong merakam ucap takziah di laman Facebook masing-masing dengan catatan mengenai sumbangan Allahyarham buat Singapura.

"Salam takziah buat keluarga Pak Sarkasi Said, yang juga dikenali sebagai 'Baron of Batik'. Saya bertemu dengan beliau tahun lalu dalam sesi pertemuan bersama penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

"Pak Sarkasi akan diingati kerana nyala rasa dan kesungguhannya memburu keseniannya. Beliau meninggalkan legasi pada dinding-dinding Istana," tulis Puan Halimah.

Encik Lee yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris melahirkan rasa terkesannya menerima berita pemergian Pak Sarkasi.

"Beliau adalah pengasas seni batik di Singapura, dan karya-karyanya telah dipamerkan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Brunei, dan Indonesia. Karya seni beliau yang bertemakan orkid mencipta Rekod Dunia Guinness pada 2003 bagi lukisan batik terpanjang.

"Pak Sarkasi tidak pernah lupa asal usulnya, dan berusaha sedaya upaya untuk memupuk barisan pelapis penggiat seni batik di kalangan generasi seterusnya. Beliau komited untuk membangunkan landskap kesenian dan kebudayaan tempatan kita. Sebagai penghargaan atas pengabdian beliau kepada bidang seni, beliau dianugerahkan Pingat Budaya pada tahun 2020.

"Saya akan sentiasa mengingati Pak Sarkasi kerana beliau menghasilkan beberapa baju batik yang saya kenakan bagi acara-acara kebangsaan.

"Pemergian beliau akan sangat-sangat dirasakan oleh golongan seniman dan rakyat Singapura yang menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi. Ucapan takziah buat keluarga Pak Sarkasi. Kita turut berdukacita atas pemergian beliau," jelas Encik Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg