PRESIDEN Halimah Yacob menyertai sekitar 200 jemaah dalam majlis berbuka puasa di Masjid An-Nahdhah sebentar tadi (23 Mei).
Awal dari itu, Puan Halimah yang ditemani suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, dibawa berkunjung sekitar Pusat Harmoni yang terletak dalam masjid di Bishan itu.
Ini merupakan kali pertama beliau melawat Pusat Harmoni sebagai Presiden.
Semasa lawatan beliau ke sana, Puan Halimah berpeluang berinteraksi dengan ketua beberapa pertubuhan berdekatan masjid itu termasuk Gereja Bible-Presbyterian Zion Bishan, Girl Guides Singapura, Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (Bishan) serta pegawai Lembaga Pengurusan Masjid An-Nahdhah.
Beliau turut disertai Menteri Sekitaran dan Sumber Air serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh (Bishan East-Thomson) Encik Chong Kee Hiong; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Alami Musa; Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Maricar; serta Mufti Dr Fatris Bakaram.
Beberapa pemimpin masyarakat lain juga menyertai majlis iftar itu.
Memuji usaha yang dijalankan Pusat Harmoni, Presiden Halimah berkata:
"Yang baiknya tentang Pusat Harmoni ini, ia memberi peluang untuk bekerjasama dengan badan akar umbi dan ini adalah satu cara untuk membawa mesej dari Pusat Harmoni ini kepada Singapura."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg