Presiden Halimah: Usaha seluruh masyarakat perlu bagi cetus perubahan positif dalam usaha sokong wanita
Presiden Halimah: Usaha seluruh masyarakat perlu bagi cetus perubahan positif dalam usaha sokong wanita
USAHA seluruh masyarakat diperlukan untuk mencetuskan perubahan positif terhadap norma dan amalan masyarakat untuk menyokong wanita, kata Presiden Halimah Yacob.
Puan Halimah berkata isunya bukan hanya berkenaan hak wanita, namun kerana golongan itu berhak menerima penghormatan dan penghargaan bagi sumbangan dan pengorbanan mereka.
"Kita semua berada dalam kedudukan berpengaruh untuk melakukannya.
Dengan rasa hormat sebagai asas hubungan antara kaum wanita dan lelaki, kita dapat mewujudkan masyarakat di mana setiap wanita dan lelaki dapat mencapai aspirasi dan potensi penuh mereka," kata beliau.
Berucap di Persidangan Wanita Institut Pengajian Dasar (IPS) semalam, Puan Halimah berkata pemerintah telah bekerjasama dengan masyarakat sivil dan rakyat selama bertahun-tahun lamanya untuk membina sebuah Singapura yang lebih saksama dan pelbagai.
Memberi contoh, beliau berkata siri Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dijalankan sejak September tahun lalu dan juga persidangan IPS yang diadakan itu adalah penting untuk mendapatkan pandangan dari pakar pelbagai bidang dan untuk terlibat dalam perbincangan mengenai isu utama yang dihadapi wanita.
Beliau menambah bahawa adalah penting untuk juga menyemak dasar dan norma sosial yang ada supaya dapat memberi respons yang secukupnya terhadap perubahan sikap dan cabaran berkaitan kesamaan antara wanita dengan lelaki.
Misalnya, Kanun Jenayah dipinda pada 2019 untuk mempertingkatkan perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, dan pada Mac tahun ini, kenyataan menteri mengenai semakan rangka kerja hukuman bagi kesalahan seksual dan cedera pula membentangkan falsafah pemerintah terhadap kesalahan sedemikian, di mana pencegahan dan hukuman setara akan secara umumnya diutamakan daripada pemulihan bagi pesalah dewasa.
Puan Halimah turut menyentuh tentang cabaran wanita perlu mengimbangi pekerjaan dengan tanggungjawab menjaga anak-anak di rumah, sambil menggesa majikan dan ahli keluarga untuk bersikap lebih memahami dan memberikan galakan kepada wanita dengan memberikan mereka sokongan lebih besar.
Namun, dengan masyarakat yang berubah, cabaran baru juga timbul dalam usaha mencapai kesamaan antara wanita dengan lelaki, tambah beliau.
Salah satu cabaran itu adalah dunia digital, di mana media sosial kini menjadi ruang bagi wanita diganggu atau dibuli.
Meskipun terdapat undang-undang bagi mangsa mendapatkan perintah perlindungan daripada perbuatan gangguan, termasuk gangguan dalam talian dan pembulian siber, Puan Halimah menekankan kepentingan bagi rakyat Singapura memberi isyarat kuat bahawa masyarakat mengecam tingkah laku sedemikian "kerana tiada wanita selamat daripada penganiayaan seperti itu termasuk ahli keluarga wanita kita sendiri".
"Walaupun teknologi telah membuka ruang baru bagi perbuatan gangguan dan keganasan terhadap kaum wanita, sikap yang menimbulkan perilaku antisosial ini telah bersama kita lebih lama.
"Kita semua mempunyai tugas untuk menolak ucapan dan tingkah laku berbaur seksis di sekitar kita. Sekolah dan tempat kerja juga perlu memandang serius gangguan seksual agar kaum wanita merasa selamat dan dilindungi. Kanun keseksaan kami telah dikemas kini untuk mencerminkan hukuman yang lebih tegas bagi kesalahan tersebut," kata beliau.

