Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Halimah: Utamakan kesaksamaan jantina

Pemerintah dunia perlu menubuhkan program pelaksanaan dan dasar nasional yang berkesan supaya dapat mengintegrasi wanita dalam ekonomi dan masyarakat dengan lebih baik
Mar 9, 2021 | 5:30 AM
RAIKAN WANITA HEBAT: Presiden Halimah bergambar bersama wanita yang disenaraikan tahun ini dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura serta wakil mereka. - Foto MCI
RAIKAN WANITA HEBAT: Presiden Halimah bergambar bersama wanita yang disenaraikan tahun ini dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura serta wakil mereka. - Foto MCI -

PRESIDEN Halimah Yacob menggesa pemerintah-pemerintah supaya mengutamakan kesaksamaan jantina dan meletakkannya di tengah-tengah program pembangunan mereka.

Mereka perlu menubuhkan program pelaksanaan dan dasar nasional yang berkesan supaya dapat mengintegrasi wanita dalam ekonomi dan masyarakat dengan lebih baik, kata beliau sewaktu sidang maya 'Women of Our Time' anjuran South China Morning Post semalam.

"Jika kita benar-benar mempercayai pembangunan mampan sebagai cara untuk maju supaya kemanusiaan boleh terus hidup, justeru ia tanggungjawab semua, lebih-lebih lagi para pemimpin pemerintah, penggubal dasar dan perniagaan, untuk meletakkan ini di atas agenda mereka dan memperuntukkan sumber cukup, usaha dan tumpuan untuk meningkatkan kehidupan wanita," kata beliau.

Puan Halimah juga menekankan peri pentingnya wanita mempunyai akses sama kepada pendidikan dan latihan serta maklumat pasaran buruh supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam ekonomi dengan kemampuan dan kemahiran betul, sementara mendapatkan akses sewajarnya kepada pekerjaan dan peluang.

Bagaimanapun, untuk melatih wanita menjangkau sektor tradisional, dan dalam pemulihan menyusuli pandemik Covid-19, perlu ada tumpuan untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) yang terdapat jurang jantina yang besar.

"Kekurangan wanita yang berterusan dalam bidang ini akan meletakkan mereka dalam keadaan yang merugikan kerana mereka akan tersingkir daripada banyak kerjaya yang baik, lebih-lebih lagi sedang teknologi menjadi pendorong penting dalam hampir semua aspek kehidupan kita," tambahnya.

Di tempat kerja pula, Puan Halimah berkata perlu ada lebih banyak peningkatan.

Pemimpin perniagaan patut menetapkan sasaran untuk mengecilkan jurang gaji antara jantina dan memastikan keseimbangan jantina dalam pengambilan pekerja dan dasar kemajuan kerjaya, lebih-lebih lagi berkenaan jawatan kepimpinan.

"Apabila perniagaan menerima hakikat perlunya bertanggungjawab dalam menjadikan tempat kerja mereka lebih seimbang dari segi jantina dan inklusif, ia menghantar isyarat sangat penting yang kesannya dirasakan seluruh masyarakat," tambah Puan Halimah.

Setelah sidang tersebut, Puan Halimah menghadiri upacara Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura yang ketujuh anjuran Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) di Istana dengan beliau memuji tujuh wanita yang dimasukkan ke dalam senarai wanita hebat itu serta 160 wanita sebelum mereka.

Beliau berharap ramai warga Singapura akan menjadikan wanita-wanita ini sebagai contoh atas ciri-ciri dan nilai yang mereka pegang, tidak kira jantina dan usia.

Menurutnya, Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura yang sedang dijalankan penting kerana sikap masyarakat telah berubah dalam tahun-tahun ini dan akan terus berubah.

Justeru untuk memastikan terdapat perubahan, adalah penting untuk mendengar pendapat segmen berbeza dalam masyarakat dan isu wanita yang mendapat perhatian mereka.

"Secara individu, kita juga boleh memainkan peranan dengan menentukan bagaimana tindakan kita sendiri boleh mempengaruhi mereka di sekeliling kita, lebih-lebih lagi anak-anak muda kita," kata beliau lagi.

TUJUH WANITA YANG DISENARAIKAN DALAM DEWAN KEMASYHURAN WANITA SINGAPURA

1. Ida Mabel Murray Simmons

Seorang jururawat kesihatan awam perintis yang merubah penjagaan kesihatan ibu dan bayi di Singapura antara 1927 dengan 1948.

2. Mae Noeline Oehlers

Seorang pendidik dan wanita sukan menyerlah, yang merupakan pemain bintang hoki pada 1930-an dan kemudian pengetua Singapura pertama Sekolah Perempuan Raffles.

3. Kwan Shan Mei

Pelukis ilustrasi perintis yang melukis buku teks yang digunakan oleh generasi demi generasi pelajar Singapura.

4. Myrna Braga-Blake

Aktivis, pendidik dan pekerja sosial perintis yang mendedikasikan kehidupannya kepada membentuk perkhidmatan bagi mangsa keganasan domestik dan melatih pekerja sosial masa depan.

5. Santha Bhaskar

Pereka tari dan penari perintis yang menggabungkan elemen gaya tarian Asia lain ke dalam persembahan tarian India klasikal beliau.

6. Annabel Pennefather

Peguam dan pentadbir sukan perintis yang mencipta sejarah dalam pentadbiran sukan, setempat mahupun antarabangsa, dan dalam profesion undang-undang.

7. Teo Ah Hong

Juruterbang komersial wanita pertama yang sebagai Ketua Pengajar Penerbangan di Kolej Penerbangan Singapura bertanggungjawab dalam latihan ramai juruterbang Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg