SATU-SATUNYA pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura, Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, telah meninggalkan sektor awam dan menyertai sektor swasta sebagai konsultan.
Dr Syed Harun, 37 tahun, sebelum ini berkecimpung lebih sedekad dalam sektor awam, dan merupakan mantan Konsultan Pakar Psikiatri di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dan mantan Konsultan Pelawat di Institut Kesihatan Mental (IMH).
Sejak 1 Oktober lalu, beliau menyertai Klinik Perubatan Psikologi Better Life - yang terletak di Pusat Perubatan Novena - sebagai Konsultan Pakar Psikiatri.
"Ada doktor yang mungkin kekal dalam perkhidmatan awam sepanjang hidup mereka, dan ada juga yang beralih ke sektor privet.
"Ia hanya satu peralihan. Kerja klinik yang kami lakukan tetap sama, cuma dalam sektor privet pesakit mungkin lebih mudah berjumpa dengan kami. Terdapat lebih banyak fleksibiliti dalam sektor privet," ujar Dr Syed Harun apabila ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Perubahan dalam kerjayanya itu juga berlaku sekitar empat bulan selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) daripada Encik Suhaimi Salleh pada Jun lalu.
"Apabila peluang menyertai sektor swasta ini datang pada masa yang sama dengan perubahan di LBKM, saya hanya istikharah dan semua nampaknya berjalan lancar.
"Saya hanya perlu bertindak dengan yakin. Tak ada kepastian apabila anda masuk ke sektor swasta. Anda masih perlu mantapkan kedudukan anda," ujar Dr Syed Harun, yang sudah berumahtangga dan belum dikurniakan anak.
Selain penglibatannya dalam LBKM, Dr Syed Harun juga aktif dalam kerja masyarakat sebagai anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis); Naib Pengerusi Panel Perundingan Filem di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA); dan Anggota Jawatankuasa Semakan (Rumah Orang Melarat) di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Beliau juga anggota Majlis Belia Kebangsaan dan Setiausaha Persatuan Psikiatri Singapura.
"Seperti dalam tugas saya sebelum ini, saya berasa bertuah mempunyai bos yang memahami kerja masyarakat saya, dan menyokong saya selama ini.
"Saya melihat penglibatan saya dalam masyarakat ini sebagai satu lanjutan kepada kegiatan kokurikulum (CCA) semasa di sekolah dahulu.
"Anda mahu menyumbang kepada masyarakat tetapi penglibatan itu sebenarnya juga menyumbang kepada pembangunan peribadi dan harap-harap, kematangan anda juga," ujarnya, yang pernah menjadi Presiden Persatuan Islam Universiti Nasional Singapura (NUSMS).
Sebagai satu-satunya pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura, Dr Syed Harun juga berkata terdapat skop baginya untuk memupuk kesedaran mengenai kesihatan mental, serta isu kesihatan lain.
"Memang semua orang pun menghadapi tekanan dan ini tidak bermakna anda mempunyai penyakit mental.
"Tetapi jika anda mendapatinya sukar untuk berfungsi, anda sekurang-kurangnya harus berjumpa dengan seorang yang dapat berkata ini satu pengalaman yang biasa atau ini satu kemurungan atau isu kesihatan mental yang besar," ujarnya.
BIODATA
Nama: Dr Syed Harun Taha Alhabsyi
Umur: 37 tahun
Kerjaya: Konsultan Pakar Psikiatri di Klinik Perubatan Psikologi Better Life
Kerja Kemasyarakatan:
- Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM)
- Anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
- Naib Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Filem di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA)
- Anggota Jawatankuasa Semakan (Rumah Orang Melarat) di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
- Anggota Majlis Belia Kebangsaan
- Setiausaha Persatuan Psikiatri
Singapura Status: Sudah berumah tangga dan belum mempunyai anak
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg