Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden MTFA dipilih semula bagi penggal kedua

Abdul Rahman Mohd Hanipah ingin terus kukuh khidmat kesihatan, rumah anak yatim dan aliran pendapatan persatuan
Oct 26, 2025 | 8:57 PM
Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah telah dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) bagi penggal kedua, menurut satu hantaran Facebook oleh MTFA pada 25 Oktober.
Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah telah dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) bagi penggal kedua, menurut satu hantaran Facebook oleh MTFA pada 25 Oktober. - Foto fail

Peguam, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, telah dipilih semula sebagai presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) bagi penggal kedua, menurut satu hantaran Facebook oleh MTFA pada 25 Oktober.

Pemilihan semula itu menandakan tahun ke-14 beliau berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah persatuan itu.

Dalam panggilan bersama Berita Harian (BH), Encik Abdul Rahman menyatakan beliau berhasrat untuk menyumbang kepada legasi MTFA selama 121 tahun untuk penggal kedua dan terakhirnya sebagai presiden/

Beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh bantuan kesihatan dan rumah anak yatim, serta aliran pendapatan persatuan.

MTFA juga ingin terus meningkatkan jumlah pesakit yang mampu menerima rawatan dialisis dan membuat perkhidmatan itu lebih mudah diakses.

Kini, sekitar 456 pesakit lagi menerima rawatan dialisis melalui Ihsan Kidney Care (IKC), menurut laman web MTFA.

“Kini, kami ada tiga pusat rawatan terletak di Yishun, Henderson dan Serangoon. Kami bercadang untuk membuka dua lagi cawangan di lokasi strategik di kawasan Timur dan Barat, yang mempunyai lebih ramai penduduk Islam,” jelas Encik Abdul Rahman.

MTFA sedang menimbangkan kawasan Jurong dan Bedok.

Selain IKC, Encik Abdul Rahman berkongsi keinginan terus meningkatkan kecemerlangan kededua rumah anak yatim Darul Ihsan.

Beliau berkata: “Di Darul Ihsan, kami telah meningkatkan kapasiti daripada 30 kepada 40 (anak yatim). Bagi Darul Ihsan Lilbanat, kami dalam proses menambah kapasiti (rumah anak yatim) itu daripada 30 kepada 60 (anak yatim).

“Kami berharap dapat memperluaskannya lagi dengan memperoleh premis baru.”

Akhirnya, Encik Abdul Rahman menekankan kepentingan mengembangkan pendapatan MTFA demi membantu masyarakat dengan lebih lancar.

“Bagi pertumbuhan pendapatan, kami telah mengamalkan model perniagaan sosial untuk menyokong inisiatif kami.

“Misalnya, kami mempunyai perkhidmatan pengebumian percuma melalui MTFA Ihsan Casket, sebuah perniagaan sosial yang menjana pendapatan untuk menampung kos dan perbelanjaan perkhidmatan percuma kami untuk golongan yang memerlukan,” jelas Encik Abdul Rahman.

Beliau juga ingin memanfaatkan geran oleh kementerian dengan lebih efektif.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah atas sokongan dan sumbangan mereka yang tidak pernah luntur dalam memegang jawatan ini, walaupun sering kali tidak disedari,” kata Encik Abdul Rahman, yang juga pengarah urusan Abdul Rahman Law Corporation atau ARLC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg