Tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Jubli Intan negara, ‘Majulah Singapura’, melambangkan semangat pengembaraan, ketabahan dan kebersamaan yang diwarisi sejak zaman perintis, dan terus dihidupkan dengan cara tersendiri oleh setiap generasi baru, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
“Tema NDP tahun ini, ‘Majulah Singapura’, ringkas tetapi abadi - satu tema yang tepat untuk Jubli Intan kita.
“Ia bukan sekadar slogan untuk perbarisan tahun ini. Ia lebih daripada detik itu. Lebih daripada perasaan ketika kita melafazkan ikrar dan menyanyikan lagu kebangsaan bersama,” katanya.
Tuan Presiden berkata demikian semasa menyampaikan penghargaan kepada para peserta yang menjayakan NDP 2025 pada 29 Ogos.
Majlis itu dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) bersama pasukan NDP berlangsung di Galeri Nasional Singapura dan dihadiri sekitar 250 tetamu.
Beliau menambah bahawa sambutan NDP ke-60 membawa makna yang lebih mendalam dari segi emosi, dengan mereka yang terlibat dalam sambutan tersebut sebagai contoh ‘Kisah Singapura’ dalam segala kepelbagaian dan daya tahan mereka.
Lebih daripada 16,000 peserta, sukarelawan dan penganjur terlibat dalam menjayakan NDP SG60. Antara yang disebutnya ialah seniman legenda, Datuk Ramli Sarip, yang telah mempersembahkan rendisi lagu kebangsaan Singapura secara deklamasi.
“Penyampaian lagu kebangsaan kami dalam bentuk kata-kata oleh Ramli Sarip membantu kami menumpukan perhatian pada makna di sebalik bait-baitnya serta untuk bermuhasabah sejenak tentang perjalanan kami selama 60 tahun,” kata Tuan Presiden.
Tambahnya lagi, kisah rakyat Singapura adalah kisah harapan dan cara untuk memperoleh kekuatan antara satu sama lain.
Beliau turut menyentuh tentang atlit Sukan Olimpik pertama Singapura Lloyd Valberg, usahawan sosial Cik Nuryanee Anisah, dan pemain dram Encik Aldrich Jai Kishen, serta keluarga yang memulakan kehidupan baru selepas berpindah dari kampung ke estet perumahan.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap Jawatankuasa Eksekutif NDP (Exco), badan seni ART:DIS Singapore, dan Temenggong Artists-In-Residence, sebuah syarikat seni yang tidak mengaup keuntungan.
Katanya: “NDP SG60 ini juga menyerlah kerana usaha yang dicurahkan untuk menjadikannya sebuah sambutan yang inklusif.
“Terima kasih kepada EXCO NDP 2025 kerana bekerjasama dengan SG Enable untuk tahun keenam.”
“Juga kepada ART:DIS Singapore, yang tampil buat pertama kali, menghimpunkan seniman kurang upaya bersama ibu bapa dan penjaga mereka.
“Serta kepada Temenggong Artists-in-Residence yang turut berkolaborasi dengan SG Enable dalam menghasilkan tiga reka bentuk pek NDP.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg