Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman: Perlu usaha berterusan perkukuh ikatan silang agama, kaum

Oct 14, 2024 | 5:27 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kanan) bersama ahli panel Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 iaitu (dari kanan) Presiden Pusat Islam dan Demokrasi Filipina, Cik Amina Rasul-Bernardo dan Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman. (Kiri) ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. (Belakang Encik Masagos) Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kanan) bersama ahli panel Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 iaitu (dari kanan) Presiden Pusat Islam dan Demokrasi Filipina, Cik Amina Rasul-Bernardo dan Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman. (Kiri) ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. (Belakang Encik Masagos) Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sungguhpun usaha menghapuskan prasangka perkauman atau agama secara terang-terangan masih perlu diteruskan bagi memperkukuhkan lagi ikatan silang agama dan kaum di Singapura, prasangka bersifat halus adalah sesuatu yang turut perlu diberi perhatian, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Semasa berucap di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 14 Oktober, beliau berkata prasangka bersifat halus ini, seperti tidak menyertakan rakan kerja berbangsa atau agama lain semasa makan tengah hari, harus diperhatikan juga.

Ini lebih-lebih lagi tatkala ketidaktentuan semakin meningkat dan toleransi antara kaum dalam banyak masyarakat di seluruh dunia kian tergugat, tambahnya.

Tuan Presiden berkata demikian semasa berucap dalam edisi kedua ICCOS, yang bertemakan ‘Pemimpin Masa Depan Berinspirasi: Membangunkan Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’.

Persidangan dua hari pada 14 dan 15 Oktober anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu menyaksikan kehadiran lebih 600 hadirin pada hari pertama – terdiri daripada penggubal dasar dan pemimpin agama, antara lain.

Ini termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Presiden Muis, Encik Saat Abdul Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.

Tuan Presiden menjelaskan disebabkan gejolak yang mencengkam dunia, kepudaran kepercayaan kian meluas antara masyarakat.

Ini menjadi peringatan bahawa perpaduan masyarakat yang telah wujud di Singapura tidak boleh diambil mudah, tambahnya.

“Sejarah tidak berkembang maju secara automatik ke arah pemahaman lebih mendalam antara golongan berbeza kaum atau agama, menyemai identiti berkongsi yang lebih mendalam atau pengasingan lebih rendah di kala masyarakat menjadi semakin kaya.

“Prasangka dan kebimbangan kaum tidak mudah untuk dihapuskan dan ia dengan mudah boleh dibangkitkan atau dimanipulasi oleh kuasa-kuasa yang berbeza pandangan, seperti yang dapat dilihat beberapa tahun sejak kebelakangan ini di Asia dan seluruh dunia,” ujar beliau.

Tuan Presiden menukil contoh ketegangan yang berlaku pada Ogos 2022 antara golongan Muslim dengan Hindu di Leicester, United Kingdom – yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bandar contoh bagi aspek kepelbagaian.

Ketegangan itu menyebabkan 47 individu diberkas pihak berkuasa, menukil laporan media United Kingdom.

Oleh demikian, Tuan Presiden memberi penekanan bahawa jika pendekatan berdasarkan model ‘laissez-faire’ – iaitu membiarkan sesuatu tanpa sebarang unsur campur tangan – terhadap aspek kepelbagaian tanpa usaha proaktif, ia lama-kelamaan akan rapuh.

Beliau berkata: “Kita harus dan perlu belajar daripada apa yang berlaku, bukan sahaja dari sejarah berdekad lamanya, bahkan melalui realiti berterusan atau yang melanda kebelakangan ini daripada pelbagai pelosok dunia.

“Kita boleh membangunkan berdasarkan pengalaman positif yang kita lihat, sedang kita berusaha untuk membina kompak sosial berbilang etnik yang berdaya tahan, dan membolehkan komuniti minoriti berjaya dan berkembang maju.”

Majlis tersebut menyaksikan Tuan Presiden menganugerahkan 11 individu sempena Anugerah Muis 2024 – anugerah terunggul Anugerah Jasa Cemerlang disandang mantan Presiden Lembaga Kenangan Maulid (LBKM), Encik Suhaimi Salleh.

Sidang dua hari itu juga menampilkan sesi perkongsian oleh panelis tempatan dan antarabangsa, seperti mantan datuk bandar Rotterdam, Belanda, Encik Ahmed Aboutaleb; dan Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman – satu-satunya wanita dalam pasukan ekonomi dan Muslim dalam kabinet Presiden Ferdinand R Marcos Jr.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg