Negara-negara mesti bertindak sebagai “pembina jambatan” untuk menyatukan pelbagai rantau, merapatkan jurang perbezaan antara negara maju dengan negara membangun, serta mengekalkan kerjasama antara Amerika Syarikat dengan China, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah di Sekolah Ekonomi Stockholm di Sweden pada 20 Oktober, di mana beliau memberi amaran bahawa dunia berisiko menjadi semakin berpecah belah tanpa kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh dan kompak sosial baharu di dalam negara.

Menyampaikan kuliahnya yang bertajuk, ‘Di Antara Dunia Unipolar Dan Multipolar: Merapatkan Jurang’, Tuan Presiden berkata aturan dunia unipolar (hanya ada satu kuasa utama) yang dipimpin oleh Amerika telah berlalu, namun aturan multipolar (melibatkan pelbagai negara) yang stabil masih belum muncul.

“Apa yang berubah ialah peralihan pendirian Amerika daripada kepercayaan dan amalan yang berteraskan kepentingan diri yang berpandangan jauh kepada pengiraan kepentingan negara yang lebih sempit dan bersifat jangka pendek.

“Akibatnya, pengaruh Amerika semakin merosot. Perkara ini dapat dilihat menerusi pelbagai tinjauan di Asia, Eropah dan seluruh dunia.

“Namun, kita masih belum mencapai susunan dunia multipolar. Bilangan kutub kuasa semakin bertambah, tetapi kepimpinan sejagat kian lemah,” kata Tuan Presiden.

Dalam pada itu, beliau menggesa negara-negara saiz berbeza agar membina pakatan bagi menangani cabaran bersama, termasuk perubahan iklim, kesiapsiagaan pandemik, dan risiko yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan (AI), di samping mengekalkan hubungan ekonomi antara kuasa-kuasa besar.

Menjelaskan bagaimana “pembina jambatan” dapat diwujudkan dalam kalangan negara-negara kecil, sederhana, dan besar, Tuan Presiden menambah:

“Pembina jambatan seperti Singapura – bukannya sebuah kuasa sederhana, tetapi turut bekerjasama secara aktif dalam memajukan kerjasama antara Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas-Pasifik (CPTPP) dan Kesatuan Eropah (EU), serta antara Asean dengan EU.

“Dan mencari jalan agar suara negara-negara kecil di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat didengari.”

Selain Singapura, Sweden, Australia, Canada, Ghana, Jepun dan EU secara keseluruhan turut disebut Tuan Presiden sebagai contoh “pembina jambatan” lain.

Dalam pada itu, Tuan Presiden juga menyatakan bahawa dunia tidak mungkin dapat mewujudkan aturan antarabangsa yang berlandaskan kerjasama, tanpa pembaharuan dan pengukuhan semula kontrak sosial di dalam negara masing-masing.

“Hakikatnya, dalam dunia yang mengalami perubahan teknologi dengan pantas dan saling bergantung antara satu sama lain, masyarakat secara keseluruhannya mungkin semakin makmur, tetapi akan tetap ada golongan yang ketinggalan dan terjejas,” kata Tuan Presiden.

Justeru, adalah tanggungjawab sistem demokrasi dan tadbir urus yang baik untuk membantu golongan yang terjejas seawal mungkin.

Meskipun sesuatu negara itu dan ekonominya berada dalam keadaan baik dan terus berkembang, namun, kerugian yang dirasakan oleh mereka yang kehilangan pekerjaan atau menyaksikan komuniti mereka terjejas akibat perubahan ini adalah nyata.

Kesan kerugian itu terhadap landskap politik sering kali lebih besar berbanding manfaat yang dinikmati oleh majoriti masyarakat, yang tersebar secara meluas, tambah beliau.

“Pasaran tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera, malah seringkali langsung tidak dapat menanganinya.

“Tanggungjawab pemerintah adalah untuk memastikan masalah sedemikian tidak berlarutan sehingga menjadi semakin serius, serta campur tangan bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan atau terjejas akibat perubahan tersebut,” ujar Tuan Presiden.

Lantas, beliau menambah dunia perlu elak daripada berlakunya ekonomi dan masyarakat berbentuk K (K Economy), sedang ia melangkah ke era AI.

Ekonomi berbentuk K ialah istilah ekonomi yang menggambarkan keadaan di mana pertumbuhan ekonomi berlaku secara tidak seimbang selepas satu krisis atau perubahan teknologi yang besar.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti