GOTHENBURG (Sweden): Selain perjanjian rasmi untuk bekerjasama dalam bidang teknologi tinggi seperti kuantum dan 6G, Singapura dan Sweden akan terus saling belajar dalam bidang sistemik yang lebih menyeluruh.

Ini merangkumi pendekatan setiap negara dalam mengekalkan perpaduan masyarakat serta kekal berdaya saing di tengah-tengah cabaran dunia yang kian meningkat, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 21 Oktober.

Bercakap kepada wartawan pada hari terakhir lawatan negaranya ke Sweden, Tuan Presiden menyatakan bahawa kedua-dua negara berhasrat untuk memastikan semua anggota masyarakat dapat menikmati kemajuan ekonomi bersama, dan mereka boleh bertukar-tukar pandangan dalam aspek tersebut.

Beliau menarik perhatian bahawa rakyat Sweden sangat bangga dengan budaya kesamarataan dan saling membantu mereka, serta komitmen mendalam negara itu untuk memastikan semua lapisan masyarakat maju bersama-sama.

Pada 20 Oktober, Tuan Presiden melawat Fryshuset, sebuah organisasi di Stockholm yang memperkasa golongan belia daripada pelbagai latar belakang bagi membina keyakinan, membangunkan potensi diri, serta merasakan mereka ada peranan dalam masyarakat.

Pada masa sama, Sweden berupaya melahirkan individu dan usahawan yang meletakkan sasaran amat tinggi buat diri mereka, tambah beliau.

Negara itu mencatatkan antara nisbah perniagaan unicorn – syarikat dengan nilai melebihi AS$1 billion ($1.28 billion) – tertinggi di dunia berbanding saiz penduduknya.

“Sudah tentu bukan semua orang begitu, tetapi mereka berjaya mengekalkan keseimbangan berkenaan,” kata Tuan Presiden.

Singapura dan Sweden mempunyai persamaan dari segi pendirian kedua-dua pemerintah yang berpandangan bahawa mereka harus membuka peluang bagi syarikat-syarikat berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Namun, ini dicapai bukan dengan langkah campur tangan dalam strategi korporat, sebaliknya dilakukan menerusi penyediaan persekitaran kawal selia yang stabil serta usaha menggalak perniagaan di luar negara, tambah beliau.

Tuan Presiden berkata Sweden, berbanding kebanyakan negara lain di Eropah, mempunyai sistem pembiayaan yang kukuh bagi perniagaan baharu yang sedang berkembang, termasuk masyarakat angel investors yang rancak. 

Pelabur jenis ini merangkumi individu berpendapatan tinggi yang menyediakan modal peribadi bagi syarikat pemula (start-up) pada peringkat awal, sebelum kejayaan pelaburan berkenaan dimanfaatkan semula untuk melabur dalam kelompok syarikat pemula seterusnya. 

“Perkara-perkara ini tidak asing bagi kita,” kata Tuan Presiden.

“Kita mempunyai aspirasi tersendiri dalam pembiayaan syarikat pemula, dan ada perkara yang boleh dipelajari daripada Sweden.”

Semasa lawatan negara Tuan Presiden, yang turut meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala, kedua-dua negara bersetuju memeterai pengisytiharan bersama mengenai kerjasama strategik dalam teknologi yang diyakini serta berinovasi.

Di samping persamaan yang dimiliki kedua-dua negara, Tuan Presiden berkata Singapura dan Sweden mampu bekerjasama rapat kerana telah membina hubungan berasaskan kepercayaan sejak 60 tahun lalu.

Bermula daripada teknologi pertahanan pada peringkat awal, kedua-dua pihak kini telah meluaskan kerjasama ke pelbagai bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk sektor pendidikan dan kini tenaga, kata beliau.

“Ia merupakan satu lawatan yang produktif, bukan sahaja disebabkan perjanjian yang dimeterai – dalam bidang tenaga, kecerdasan buatan (AI), kuantum, 6G, sains bahan dan sektor lain,” kata beliau.

“Bahkan (ia juga produktif) menerusi cara kita terus saling belajar dalam pendekatan mengekalkan perpaduan masyarakat, kekal berdaya saing, serta meluaskan peluang untuk negara kita dalam dunia yang semakin mencabar daripada sebelum ini.”

“

Ia merupakan satu lawatan yang produktif, bukan sahaja disebabkan perjanjian yang dimeterai – dalam bidang tenaga, kecerdasan buatan (AI), kuantum, 6G, sains bahan dan sektor lain. Bahkan, menerusi cara kita terus saling belajar dalam pendekatan mengekalkan perpaduan masyarakat, kekal berdaya saing, serta meluaskan peluang untuk negara kita dalam dunia yang semakin mencabar daripada sebelum ini.
Presiden Tharman Shanmugaratnam